Jangan lakukan sebarang aktiviti raih undi secara aktif: SPR

Azhar Azizan (kiri) berbual mesra dengan pegawai polis yang bertugas memantau keselamatan di pusat pengundian di SMK Dato' Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas hari ini.
Azhar Azizan (kiri) berbual mesra dengan pegawai polis yang bertugas memantau keselamatan di pusat pengundian di SMK Dato' Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas hari ini.
A
A
A

PONTIAN - [VIDEO] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan semua penyokong parti dan calon bertanding agar tidak melakukan sebarang aktiviti meraih undi secara aktif sepanjang hari pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, setakat ini tiada aduan aktiviti meraih undi secara aktif oleh mana-mana penyokong calon yang bertanding.

Menurutnya, walaupun ada penyokong calon melakukan aktiviti sorakan, memakai baju parti dan mengibar bendera, ia masih terkawal kerana tidak agresif dan berada 50 meter dari luar garisan sempadan pusat mengundi.

Katanya, pihaknya juga belum menerima aduan daripada calon Gerakan, Wendy Subramaniam yang sebelum ini mendakwa kecewa kerana masih terdapat jentera parti cuba meraih undi secara aktif berhampiran pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mohd Yunos Sulaiman.

"Hasil pemantauan saya, tiada aduan diterima berkaitan tindakan penyokong mengadakan aktiviti meraih undi secara aktif. Cuma kita perhati ada (penyokong parti) bersorak, tidak nampak sebarang aktiviti aktif.

"Ingin kita tegaskan aktiviti meraih undi secara aktif tidak boleh diadakan di mana-mana, bukan setakat 50 meter. Justeru semua penyokong dan calon diminta tidak mengadakan sebarang aktiviti meraih undi secara aktif," katanya kepada media sewaktu mengadakan lawatan ke pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas di sini hari ini.

Azhar Azizan berkata, perjalanan hari pengundian PRK setakat ini berjalan lancar dengan tiada insiden serius berlaku.

Menurutnya, jumlah peratusan keluar mengundi setakat jam 10 pagi adalah 25 peratus.

Artikel Berkaitan:

"SPR menjangkakan jumlah peratusan keluar mengundi sepanjang PRK hari ini mencecah 70 peratus berdasarkan analisis beberapa pemerhati pilihan raya.

"Saya turut merayu semua pengundi di Parlimen Tanjung Piai untuk keluar mengundi awal kerana jabatan kaji cuaca meramalkan ribut petir akan berlaku pada waktu petang," katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat khidmat 'buggy' disediakan di beberapa pusat pengundian yang mempunyai jarak jauh dari pintu masuk.

"Khidmat buggy memudahkan pengundi orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu mengandung dan mereka yang keuzuran untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

"Selain itu kita turut berpuas hati dengan kehadiran pengundi muda yang agak ramai meskipun pada awal hari pengundian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!