Tesco bantu ringankan beban ibu bapa
KEPONG - Dapatkan baju sekolah serendah RM7 sempena Kempen Tesco School Shop bermula Khamis lalu hingga 1 Januari depan di Pasaraya Tesco berhampiran.
Pengarah Produk Tesco Malaysia, Kenneth Chuah berkata, kempen bagi meringankan kos perbelanjaan ibu bapa itu menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi kelengkapan persekolahan sesi 2020.
Menurutnya, Tesco turut menawarkan set uniform sekolah A-Star dengan tiga pasang stokin beserta kasut dengan harga RM40 dan ke bawah.
“Dapatkan juga beg tarik serendah RM32.90, bekas makanan dan minuman dari RM5 serta set alat tulis dan buku nota dengan diskaun berpatutan.
“Tesco turut menyediakan beberapa peralatan persekolahan dengan watak animasi kartun popular seperti Frozen 2, Marvel, Little Pony dan Unicorn sebagai mempelbagaikan pilihan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran Kempen Tesco School Shop yang turut dihadiri Pengarah Pembangunan Pelanggan, Jay Go dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pintar, Sabri Abdul Rahman di Tesco Kepong Village Mall di sini semalam.
Pada program sama, Tesco Malaysia turut melancarkan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tesco Beg Terus Senyum (BTS) dan Tesco-Unilever Back To School Fund.
Mengulas lanjut mengenai BTS, Kenneth berkata, kempen yang bermula Khamis lalu hingga 20 Disember depan adalah kesinambungan Program Sekolah Angkat Tesco bersama Yayasan Pintar sejak 2016.
“Sebanyak RM4.5 juta telah diperuntukkan di bawah Sekolah Angkat Tesco sejak 2016 melibatkan 63 sekolah angkat dengan jumlah pelajar 57,000.
“CSR tersebut diperluaskan melalui kempen BTS di mana pelanggan boleh menyumbang melalui pembelian beg yang disertakan dengan kelengkapan alat tulis dan buku dengan harga RM50,” katanya.
Beliau berkata, BTS akan diagihkan kepada pelajar dalam keluarga B40 yang diuruskan oleh pihak Tesco pada 2 Januari depan iaitu pada hari pertama sesi persekolahan 2020.
“Harga asal BTS adalah RM52. 80 namun pelanggan hanya perlu membayar RM50 sementara bakinya akan dibiayai oleh pihak Tesco. Beg tersebut dipamerkan di kaunter khidmat pelanggan di Tesco terpilih.
“BTS ini boleh didapati di Tesco cawangan Kepong, Shah Alam, Station 18, Alor Setar, Kota Bharu, Seremban Jaya, Melaka, Cheng Melaka dan Seri Alam serta dua Tesco Extra di Cheras dan Pulau Pinang,” katanya.
Tesco turut menjalin kerjasama bersama Unilever Malaysia untuk mengumpul dana RM100, 000 yang akan disumbangkan kepada 600 pelajar kurang bernasib baik.
Pengguna boleh menyumbang melalui pembelian produk Unilever Malaysia bernilai RM35 dalam satu resit yang RM1 daripadanya akan disalurkan dalam dana ini.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Midah 2, Mohd Faisal Mohd Salih berkata, SK Taman Midah 2 bertuah terpilih sebagai sekolah angkat Tesco.
"Banyak manfaat kami terima antaranya penyediaan kebun untuk pelajar melakukan cucuk tanam selain sumbangan kembali ke sekolah serta insentif kepada pelajar cemerlang,” katanya.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pintar, Sabri Abdul Rahman pula berkata, Tesco Malaysia memberikan sumbangan lebih daripada sepatutnya untuk CSR sekolah angkat mereka.
"Saya berharap program sama diteruskan pada masa akan datang supaya lebih banyak anak-anak kurang berkemampuan ini dibantu selain meringankan beban ibu bapa bagi persiapan persekolahan anak-anak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!