'Saya masih tidak dapat lupakan suami, anak...'
GUA MUSANG - "Saya masih tidak dapat melupakan arwah suami dan anak," luah Som Ngai, isteri kepada tok batin, Hamdan Keladi, yang meninggal dunia dalam tragedi jangkitan demam campak yang melanda penduduk orang asli suku Bateq, Kampung Kuala Koh baru-baru ini.
Menurut Som, 50, sebulan selepas kes kematian yang meragut nyawa suami dan tiga anaknya, Leha Hamdan, 30, Romi, 29 dan Din, 18, baharulah dia dapat melelapkan mata di waktu malam.
Katanya, setiap hari, rutin hariannya adalah berada di Tanah Perkuburan Islam suku Bateq, Kampung Kuala Koh bagi menziarahi pusara suami dan anak.
"Suami saya dipilih sebagai tok batin atau ketua kampung sejak lima tahun lalu. Rutin harian kami sering bersama iaitu mencari sumber hutan.
"Kehilangan arwah memberi kesan mendalam buat saya apatah lagi tiga anak turut meninggal dunia. Saya hilang arah. Sebulan saya tidak boleh tidur teringat keadaan arwah yang kurus kering dan terlantar sakit.
"Selepas arwah dan anak-anak dikebumikan, saya akan ke kubur setiap hari. Saya akan membersihkan kawasan kubur dan menyalakan unggun api bagi memperingati mereka," katanya sebak.
Som berkata, kini dia tinggal bersama tiga anaknya iaitu Laila, Asiah dan Din di perkampungan berkenaan.
"Bila saya teringat kejadian yang berlaku lima bulan lalu, saya jadi sedih, takut dan menangis seorang diri. Mereka pergi dalam keadaan terseksa.
"Bila saya pejamkan mata, saya terbayang bagaimana mereka mengadu sakit. Selepas beberapa hari suami pergi, anak saya, Laila dan Romi, meninggal dunia pada hari sama.
"Empat hari kemudian, Din pula tiada. Asiah juga sakit ketika itu namun dia berjaya diselamatkan selepas dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya.
Batin Hamdan dan tiga anaknya merupakan antara 16 Orang aAsli suku Bateq yang meninggal dunia akibat jangkitan wabak demam campak yang melanda perkampungan mereka sejak Mei lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!