Mengapa Indonesia kerap dilanda gempa bumi?

Seorang penduduk melihat rumahnya yang mengalami kerosakan selepas dilanda gempa di wilayah Banten Ogos lalu. - Foto AFP
Seorang penduduk melihat rumahnya yang mengalami kerosakan selepas dilanda gempa di wilayah Banten Ogos lalu. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Pada awal pagi semalam, penduduk di Maluku Utara dan Sulawesi Utara digemparkan dengan gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter.

Gegaran kuat turut mencetuskan amaran tsunami namun ia ditarik balik selepas dua jam.

Dua hari sebelumnya, gempa berkekuatan 5.1 menggegarkan bandar Ambon dan kawasan sekitarnya kira-kira jam 7.10 malam (waktu tempatan).

Selain Ambon, gegaran turut dirasai di daerah Salahutu, wilayah Maluku Tengah, Kairatu dan Seram Bagian Barat.

Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG), Daryono berkata, Indonesia kerap digegarkan oleh gempa bumi kerana kesan daripada banyak sumber gempa.

"Ketika ini negara mempunyai enam zon plat benam. Jika dilihat secara terperinci, terdapat 13 segmen megathrust. Itu adalah penjana gempa bumi yang dahsyat.

"Ia juga menyebabkan potensi berlakunya gempa sangat tinggi," katanya.

Bukan hanya zon megathrust, terdapat juga zon sesar aktif yang merupakan plat yang patah dan beralih.

Artikel Berkaitan:

Pelajar mengambil bahagian dalam latihan tsunami dan gempa bumi di Jimbaran, Bali. - Foto AFP
Pelajar mengambil bahagian dalam latihan tsunami dan gempa bumi di Jimbaran, Bali. - Foto AFP

Zon sesar aktif pula mempunyai lebih 295 titik dan sedia untuk terjadi secara berganti-ganti.

"Bagaimanapun, ia hanya kebetulan. Sehingga ke saat ini untuk membuktikan satu gempa boleh mencetuskan gempa yang lain masih sukar dibuktikan walaupun secara teori," katanya.

Daryono turut mengingatkan kembali tentang kedudukan Indonesia yang berada di kawasan sesar aktif dan kompleks.

Aktif bermaksud insiden gempa sangat tinggi manakala kompleks bermaksud terdapat pelbagai sumber gempa ada di negara itu.

Sementara itu, menurut jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Agus Wibowo berkata, selain kedudukan Indonesia yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, negara itu juga berada di antara pertemuan tiga plat bumi.

Tiga plat yang dimaksudkan adalah plat Indo-Australia, plat Eurasia dan plat Pasifik.

"Bencana boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja dan rakyat perlu bersiap sedia.

"Karateristiknya adalah semula jadi. Penduduk perlu mempunyai kesedaran yang tinggi kerana kita hidup di kawasan sering dilanda bencana," katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!