Pasangan warga emas tak pernah culas mengundi
PONTIAN - Faktor usia dan keadaan uzur tidak pernah menjadi penghalang buat pasangan suami isteri warga emas untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang berlangsung hari ini.
Malah, Salleh Dahlan, 88, dan isterinya, Jenab Jaman yang telah berusia 100 tahun itu memaklumkan kedua-dua mereka juga tidak pernah tertinggal sekali pun menunaikan tanggungjawab terbabit sejak pilihan raya umum pertama pada tahun 27 Julai 1955.
Salleh berkata, dia dan isteri juga sentiasa menunggu peluang untuk mengundi setiap kali pilihan raya yang mana disifatkan mereka tarikh bermakna sebagai rakyat di negara ini.
“Memang daripada PRU pertama, zaman Tunku Abdul Rahman (Putra Al Haj) lagi. Dulu sihat kita datang, sekarang macam ini pun kita datang, semangat sentiasa ada,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini.
Berkongsi perasaannya berpeluang mengundi pada PRK Tanjung Piai hari ini, Salleh berkata, isterinya (Jenab) lebih dilihat teruja untuk mengerjakan tanggungjawab itu meskipun keadaannya sudah begitu uzur dan perlu perhatian sepenuhnya.
"Dia (isteri) jam 5 pagi sudah bangun kejutkan saya hendak mandi pergi mengundi, jadi saya bangun masak air dan mandikan dia, pakaikan baju dan bedak.
"Memang dia teruja, setiap kali begini (mengundi), katanya tidak sabar untuk keluar mengundi awal dan berkali-kali tanya bila kereta hendak datang ambil bawa ke pusat mengundi," katanya.
Difahamkan, Salleh dan Jenab didaftarkan untuk mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Rambah.
Hari ini, sebanyak 27 pusat mengundi dan 125 saluran dibuka untuk proses pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai bermula 8 pagi hingga 5.30 petang ini.
Seramai 52,471 pengundi berdaftar di Tanjung Piai akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!