‘Kereta boleh dibaiki, anak tiada ganti...’
SHAH ALAM - Kesedaran seorang ibu menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) berjaya menyelamatkan dua daripada tiga anaknya daripada cedera selepas kereta dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 42.1 Lebuhraya Elite arah utara petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, ibu berkenaan, Nuranisa Norzahan, 28, mendakwa hanya dia dan tiga anaknya berada dalam kereta ketika insiden itu berlaku.
Pengalaman berdepan kemalangan itu dikongsi di akaun Facebook miliknya hari ini dan dia turut memanjatkan kesyukuran kerana anaknya yang diletakkan dalam CRS tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Satu tamparan hebat buat saya... saya baru sahaja kemalangan... lori hentam kereta saya. Dalam kereta hanya saya dan tiga orang anak. Dua orang anak pakai ‘car seat’ dan seorang lagi saya sedang mencari yang sesuai dengannya.
“Alhamdulillah anak-anak yang duduk dalam ‘car seat’ tiada kecederaan walaupun tengok keadaan kereta sangat teruk. Anak yang tak duduk kat ‘car seat’ lebam di dahi sebelah kanan dan calar di lengan kiri... saya nak kena cepat beli ‘car seat’ untuk dia,” tulisnya dalam status yang dimuat naik itu.
Anisa berkata, kebiasaannya dia tidak meletakkan dua anaknya dalam CRS dan membiarkan mereka bermain di kerusi penumpang bahagian belakang.
Namun katanya, awal bulan lalu timbul kesedaran mewajibkan anak-anaknya duduk dalam CRS walaupun mereka menangis.
“Sejak awal bulan lalu, Nisa cakap kat suami, anak-anak semua wajib duduk dalam 'car seat'... walau dia nangis sekalipun, dia tetap kena duduk dalam 'car seat'.
“Alhamdulillah, asbab kita mencegah itulah, ALLAH selamatkan Hadif (4 tahun) dan Harith (2 bulan) dari kecelakaan semalam... kuat juga lori tu langgar tepi sisi kiri kereta sebab beg udara kenderaan semua keluar,” katanya.
Menurutnya lagi, dia kini dalam proses membeli sebuah lagi CRS untuk anaknya.
Dalam kejadian itu, anaknya yang ditempatkan dalam kerusi keselamatan hanya terkejut.
“Buat kawan-kawan, Nisa pun bukanlah dalam kalangan orang yang mampu untuk beli 'car seat’ tapi Nisa beli sikit-sikit.
“Masa Hadif lahir dah beli ‘car seat baby’, Ayra lahir beli 'car seat' untuk ‘toddler’ pada Hadif dan sekarang masa untuk beli ‘car seat’ Ayra (2 tahun) pula,” katanya.
Dalam pada itu, Anisa turut berkongsi supaya sentiasa mengamalkan doa ketika menaiki kenderaan.
“Selalulah amalkan doa naik kenderaan...Nisa bila ‘travel’ dengan anak-anak sebelum nak gerak, Nisa mesti ajak mereka baca doa naik kenderaan.
“Moga ALLAH sentiasa lindungi kita daripada musibah yang teruk. Mohon semua ibu bapa sayangilah anak kita... mencegah lebih baik... kereta boleh perbaiki tapi anak tiada ganti...,” tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!