Selangor rancang inisiatif pembangunan mahasiswa seiring industri
GOMBAK - Kerajaan Selangor merancang beberapa inisiatif bagi memastikan kualiti pembangunan mahasiswa di negeri ini seiring keperluan sektor industri.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Program Bakti Siswa antara usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan keterlibatan mahasiswa dalam membangun masyarakat setempat.
Menurutnya, program itu bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan, pertumbuhan ekonomi dan penjagaan alam sekitar melalui penglibatan mahasiswa, pensyarah dan kakitangan institusi pendidikan.
“Mahasiswa merupakan aset terpenting dalam memacu pembangunan Negeri Selangor khusus ke arah Smart State 2025.
“Peranan mahasiswa bukan sahaja melalui percambahan idea dan akademik malah aspek kokurikulum juga merupakan elemen penting dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan berkompeten.
“Program Bakti Siswa ini memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya di kawasan gugusan pendidikan,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Bakti Siswa Peringkat Negeri Selangor di Kampung Melayu Wira Damai di sini hari ini.
Amirudin berkata, program kali ini melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kuala Lumpur, Universiti Selangor, Kolej Antarabangsa INPENS, Kolej Azmida dan Kolej Komuniti Selayang.
Menurutnya, antara pengisian program kali ini adalah gotong-royong perdana, servis motosikal, pendawaian elektrik dan sesi bersama penduduk setempat.
“Program ini dapat wujudkan jaringan kerjasama di antara institusi pengajian tinggi (IPT) dengan masyarakat dan memberi pendedahan kepada mahasiswa berkaitan kemahiran komunikasi di peringkat akar umbi serta mempelajari budaya-budaya masyarakat setempat.
“Pelaksanaan program ini diharap dapat memberi aspirasi kepada mahasiswa untuk meneruskan penglibatan mereka membantu masyarakat sekaligus meningkatkan kualiti mahasiswa,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019 yang lalu kerajaan negeri memperkenalkan strategi terbaru klusterisasi atau pembangunan gugusan.
Katanya, gugusan pendidikan menjadi pelantar tertumpu kepada pemberdayaan golongan mahasiswa, belia, kelompok akademia dan warga penyelidik memperolehi akses kepada pembelajaran dan juga penyelidikan sejajar dengan kehendak industri dan jaminan pekerjaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!