Insiden kekecohan PRK sudah dijangka: Salahuddin

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub
A
A
A

PONTIAN - Insiden kekecohan yang berlaku di dua pusat daerah mengundi (PDM) sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sememangnya dalam jangkaan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan provokasi sedemikian diramal tercetus susulan PRK merupakan satu medan penting dalam menentukan kejayaan calon-calon bertanding.

Bagaimanapun, beliau berkeyakinan langkah-langkah proaktif dapat diambil polis bagi menjamin keselamatan hingga proses pengundian tamat pada jam 5.30 petang nanti.

"Saya juga yakin apa jua insiden yang berlaku setakat tengah hari tadi akan dapat ditangani dan saya tak mahu ulas dahulu atau menghukum mana-mana pihak," katanya ketika ditemui di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di sini hari ini.

Salahuddin berkata, pada musim PRK, akan ada pihak tertentu mengambil kesempatan menimbulkan kekecohan.

Namun, beliau menegaskan perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menguruskannya.

"Saya turut mengharapkan agar tidak akan ada insiden buruk berlaku sehingga waktu pengundian tamat pada jam 5.30 petang nanti," katanya.

Dalam insiden jam 11 pagi tadi berlaku kekecohan di luar pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Mung 1, apabila seorang lelaki cuba melakukan provokasi terhadap penyokong Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu membawa plakad berwarna kuning yang dipasang pada badan dengan tertera perkataan ‘PH Janji Kosong’.

Kekecohan terjadi apabila lelaki terbabit yang melalui sekumpulan penyokong PH diherdik dan dimarahi ekoran tindakannya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!