Kiamsam hab pertumbuhan baharu ekonomi Labuan

Khalid (berdirik tengah) menyaksikan pemeteraian MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman (duduk, kanan) dan Seng Kiat di Bangunan Hub Halal Labuan hari ini. -Foto Bernama
Khalid (berdirik tengah) menyaksikan pemeteraian MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman (duduk, kanan) dan Seng Kiat di Bangunan Hub Halal Labuan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Kiamsam bakal menjadi hab pertumbuhan baharu ekonomi Labuan susulan pemindahan syarikat pembuatan kapal sokongan luar pesisir (OSV) terbesar Malaysia, Nam Cheong Dockyard Sdn Bhd di Kompleks Hab Halal Labuan di sini.

Kompleks Hab Halal Labuan dibangunkan dengan nilai RM86 juta akan menjadi antara limbungan pembuatan kapal terbesar Asia oleh penggiat marin utama dunia, Nam Cheong.

Syarikat yang mempunyai pejabat di Kuala Lumpur dan Singapura itu akan menempatkan aktiviti fabrikasi dan projek berkaitan pembinaan kapal sedia ada di Batam, Indonesia dan China ke Labuan mulai 1 Januari depan.

Labuan Corporation (LC) dan Nam Cheong Dockyard Sdn Bhd hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai menandakan bermulanya minat dan persefahaman bersama, yang akan diikuti dengan perjanjian (mengambil alih kompleks) antara kedua-dua pihak sebelum akhir tahun.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang menyaksikan pemeteraian MoU dan mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Nam Cheong, Leong Seng Keat berkata, sektor pembinaan kapal baharu itu di kompleks sedia ada dijangka menyediakan pekerjaan kepada lebih 1, 500 orang dan membantu melahirkan pekerja mahir dalam jangka panjang menerusi pusat latihan di kompleks itu.

"Ini merupakan inisiatif Perbadanan Labuan semasa mengeluarkan tender untuk kompleks itu kepada pembida menerusi permintaan cadangan (RFP) pada Jun tahun ini dengan Nam Cheong menawarkan RFP yang lebih baik.

Nam Cheong akan melabur sejumlah RM60 juta untuk menjadikan kompleks ini sebagai limbungan kapal dalam tempoh dua tahun bermula Januari 2020," katanya pada sidang akhbar.

Khalid berkata, Kompleks Hub Halal Labuan dengan kemudahan gudang sedia ada serta sokongan logistik, terletak bersebelahan pantai di kawasan industri pembinaan kapal.

Artikel Berkaitan:

"Nam Cheong yang merupakan syarikat Malaysia dengan reputasi global dalam industri pembinaan kapal perlu diberikan peluang untuk memindahkan kegiatan perniagaan mereka di Labuan, dan sudah pasti mempunyai impak ekonomi kepada kawasan setempat," kata Khalid.

"Kami berharap dapat meningkatkan ekonomi tempatan dan kesejahteraan rakyat... kerana sektor ini datang bersama sektor minyak dan gas yang diperlukan Labuan, yang ijangkakan bertahan sehingga 2045," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!