Kenang jasa guru dengan cara tersendiri
JIANGXI - CHINA. Mengharungi kehidupan tanpa seorang ayah bukan sesuatu yang mudah, begitulah yang terjadi kepada Zhang Zhanliang ketika zaman persekolahannya.
Di saat dia keseorangan, guru-guru di sekolah menjadi peneman, mereka membawa Zhanliang pulang ke rumah, menyediakan makanan untuknya dan menjahit pakaiannya yang koyak.
Hari ini, di usia 45 tahun, Zhanliang merupakan seorang guru besar sebuah sekolah yang terletak di kawasan pedalaman wilayah Jiangxi.
Mendapat ilham daripada kebaikan guru-guru di sekolahnya satu ketika dahulu, lelaki berkenaan mengambil keputusan untuk menyediakan makanan percuma buat pelajar yang ibu bapa mereka bekerja jauh di bandar.
"Kanak-kanak ini kekurangan perhatian kerana ibu bapa terpaksa bekerja di tempat yang jauh, dan kebanyakkan mereka tinggal dengan datuk dan nenek yang sudah tua," kata Zhanliang.
Apa yang istimewanya, kesemua hidangan dimasak sendiri oleh Zhanliang, malah bahan masakan juga dibeli menggunakan wang gajinya.
Menurutnya, aktiviti tersebut membolehkan dia meluangkan lebih masa dengan pelajarnya dan memberikan mereka perhatian yang diperlukan.
"Setiap hari mereka akan bertanya apa hidangan yang akan saya sediakan, " kata guru besar itu yang akan memulakan persiapan memasak seawal jam 2 petang agar pelajarnya dapat menikmati makanan panas sebaik sekolah tamat pada jam 4.
Sejak program bermula pada September lalu, inisiatif Zhanliang bukan sahaja menyumbang kepada pemakanan berkhasiat buat pelajarnya, malah ia turut menjadikannya terkenal.
Video bertajuk 'Happy Little School' yang memaparkan program makanan percuma itu telah dikongsi atas talian oleh seorang guru di sekolah terbabit dan memperoleh ribuan tontonan.
Menjadi guru sejak 1993, dan pernah mengajar di sebuah sekolah swasta di bandar, Zhanliang nekad untuk berbakti kepada komuniti luar bandar yang lebih memerlukan.
“Saya harap dapat memberikan mereka ilmu berguna agar menjadi lebih yakin dan berpeluang melanjutkan pelajaran kelak," kata Zhanliang. - SCMP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!