Henti mainkan isu perkauman, sentimen agama: Saifuddin
KUANTAN - Semua parti politik dan pemimpinnya harus bertanggungjawab dengan menolak kempen pilihan raya yang bersifat perkauman dan memainkan sentimen agama.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mana-mana pilihan raya baik pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil adalah medan untuk parti politik dan ahli politik menceritakan kebaikan parti masing-masing dan apa yang ditawarkan kepada pengundi.
Menurutnya, tidak seharusnya pemimpin politik meniupkan api perkauman atau memainkan sentimen agama semata-mata untuk meraih undi.
“Diharapkan selepas PRK Tanjung Piai ini, kita akan kembali tenang. Berhentilah main isu perkauman dan sentimen agama. Siapa yang menang itu bergantung kepada keputusan dibuat pengundi.
“Sebagai pemimpin parti politik kita harus bertanggungjawab dengan menolak kempen yang bersifat perkauman dan memainkan sentimen agama pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas merasmikan Program Sukan Special Olympics Pahang Fun Day di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan di sini hari ini.
Saifuddin berkata, beliau pandang berat perkara itu berikutan beberapa siri kempen yang dijalankan pada PRK Tanjung Piai ini kelihatan banyak memainkan isu perkauman.
“Sebaliknya kita harus bangunkan politik baharu yang inklusif sesuai dengan sifat Malaysia berbilang kaum dan agama. Tiada guna menang pilihan raya jika rakyat berpecah belah.
“Sebagai ahli politik tidak kira dari parti mana, mereka bertanggungjawab membangunkan perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!