Raja sehari tak lupa mengundi
PONTIAN - Tanggal 16 November hari ini akan menjadi tarikh paling bersejarah dan diingati sepanjang hidup Mohamad Faizulhelmi Fadzilah, 25, apabila hari perkahwinannya sama dengan tarikh pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Mohamad Faizulhelmi berkata, dia pada mulanya tidak menjangka bahawa hari berbahagianya bersama pilihan hati, Hairulniza Zainal Abidin, 25, itu akan bertembung dengan tarikh PRK berkenaan.
"Saya merancang untuk kenduri kahwin ini sejak awal tahun lagi. Tak tahu pula tiba-tiba ‘kena’ ketika PRK. Mula-mula tu rasa terkejut juga, tapi alhamdulillah semua urusan kenduri urusan majlis perkahwinan berjalan lancar sebagaimana yang dirancang sebelum ini.
“Cuma, pada hari ini keadaan lalu lintas kelihatan agak sesak di Pekan Nanas hari ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinannya di Kampung Sinar Harapan, Pekan Nanas di sini hari ini.
Walaupun sibuk sebagai raja sehari, namun bukan alasan buat Mohamad Faizulhelmi untuk tidak mengundi.
"Saya selesai mengundi di pusat pengundian Pengkalan Raja pada pada jam 8.30 pagi tadi. Selesai mengundi saya bergegas pulang untuk bersiap sempena majlis perkahwinannya.
“Saya memang berasal dari Pekan Nanas. Jadi memang kena mengundilah. Isteri saya asal dari Rawang,” katanya.
Sementara itu dia berharap agar calon yang berjaya memenangi PRK kali ini dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan khususnya untuk menjaga kebajikan penduduk di sini.
Malah katanya, saingan pada PRK kali ini kelihatan sengit kerana melibatkan seramai enam calon bagi merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai.
“PRK kali ini nampak sengit. Calon yang bertanding pun sampai enam orang, sebelum ini tak pernah seramai ini. Apa pun semoga calon yang menang kelak dapat melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!