Bola sepak terbukti ejen satukan kaum paling ampuh: FAM
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) serius untuk kembali memperluaskan sukan bola sepak yang terbukti sebagai ejen paling ampuh dalam penyatuan, perpaduan dan bina negara ke semua lapisan masyarakat.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perkara itu dapat dilihat melalui pembentukan pasukan kebangsaan pada era 1950-an hingga 90-an dan percaya dengan kerjasama seluruh masyarakat bukan Melayu, zaman kegemilangan tersebut akan dapat dikembalikan.
“Kuncinya di tangan anda. FAM hanya sebagai pemudah cara,” katanya pada upacara penutup Hari Akar Umbi Bola Sepak Cina yang diadakan di SJK (C) Lai Meng di Bukit Jalil hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco FAM, Md Dali Wahid pada penutup program yang disertai hampir 200 pelajar berusia di antara 6 dan 12 tahun serta 22 jurulatih akar umbi dari enam sekolah sekitar Petaling Jaya dan Puchong.
Hamidin berkata, FAM juga mengajak masyarakat Cina untuk menyemarakkan semula penyertaan mereka dalam bola sepak tempatan bagi menawarkan dimensi berbeza terhadap landskap sedia ada di samping menjadikan bola sepak sebagai satu opsyen kerjaya, anak-anak mereka.
Dengan menjadikan Tan Cheng Hoe, Datuk Ong Kim Swee dan Chiew Chun Yong sebagai antara contoh individu berbangsa Cina yang menikmati kerjaya dalam bola sepak tempatan, Hamidin menegaskan bola sepak bukan milik satu-satu kaum bahkan ia bersifat sejagat.
“Bola sepak bukan sekadar permainan rekreasi tetapi bagi mereka yang benar-benar berkebolehan, anda boleh menjadi pemain kebangsaan bersaing di peringkat serantau, Asia dan satu hari nanti di pentas dunia.
“Anda juga boleh mencuba nasib sebagai jurulatih, pentadbir atau pengadil, sama ada separuh masa atau sepenuh masa,” katanya.
Hari Akar Umbi Bola Sepak Cina adalah susulan kejayaan kursus kejurulatihan akar umbi FAM anjuran Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) Oktober lalu.
Program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif FAM untuk memastikan bola sepak merentas sempadan bangsa dan agama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!