Protes di Iran ragut satu nyawa

Kerajaan Iran menaikkan harga petrol sehingga 50 peratus untuk membantu keluarga yang memerlukan. - Foto: AFP
Kerajaan Iran menaikkan harga petrol sehingga 50 peratus untuk membantu keluarga yang memerlukan. - Foto: AFP
A
A
A

TEHERAN - Sekurang-kurangnya seorang orang awam terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam tunjuk perasaan bagi membantah kenaikan harga petrol di bandar Sirjan, Iran.

Pemangku Gabenor Sirjan, Mohammad Mahmoudabadi berkata, punca kematian sama ada mangsa ditembak atau tidak, masih belum dapat dipastikan.

"Pasukan keselamatan tidak mempunyai kebenaran untuk menembak dan hanya dibenarkan melepaskan tembakan amaran," katanya seperti dilaporkan agensi berita ISNA hari ini.

Menurutnya, perhimpunan aman itu dicemari oleh beberapa peserta protes yang memusnahkan harta benda awam, stesen minyak dan ada juga yang cuba untuk membakar depot minyak.

Semalam, Iran mengenakan catuan petrol dan menaikkan harga pam sekurang-kurangnya 50 peratus dengan alasan ia bertujuan untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan wang tunai.

Di bawah skim itu, pemandu perlu membayar 15,000 riyal (RM1.48) untuk 60 liter petrol pertama yang dibeli setiap bulan dengan setiap liter tambahan dikenakan 30,000 riyal (RM2.96).

Sebelum ini, pemandu dibenarkan mengisi sehingga 250 liter pada harga 10,000 riyal (99 sen).

Menurut Naib Presiden dan Ketua Organisasi Belanjawan, Mohammad Baqer Nobakht, pendapatan daripada kenaikan harga petrol itu akan digunakan untuk membiayai subsidi tambahan terhadap 18 juta keluarga atau sekitar 60 juta orang. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!