Kembar 'tomboy' beri alasan bapa teringin anak lelaki
KOTA BHARU - Pasangan kembar 'tomboy' memberi alasan bahawa bapa mereka terlalu inginkan anak lelaki menyebabkan mereka berperwatakan lelaki.
Alasan itu diberikan kepada anggota penguatkuasa dari MPKB-BRI, Skuad Sukarelawan (Hisbah) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) ketika Operasi Sosial Bersepadu Siri 1 di sebuah pasar raya di Lembah Sireh di sini hari ini.
Pengarah Pembangunan Islam MPKB-BRI, Ropein Hasan berkata, pasangan kembar berusia 16 tahun itu juga memberitahu, mereka mempunyai tiga beradik yang kesemuanya perempuan.
“Mereka juga adalah atlet sekolah dalam sukan futsal kategori perempuan dan datang ke pasar raya itu untuk bersiar-siar dan bergambar,” katanya.
Menurutnya, pasangan kembar berkenaan antara lima individu yang dikenakan Notis Khidmat Nasihat pada operasi sempena musim cuti persekolahan hari ini.
"Operasi yang dijalankan sempena cuti sekolah itu turut memberikan notis amaran kepada 50 individu lain termasuk pekerja wanita di dalam premis itu.
Katanya, operasi tersebut memberi fokus kepada budaya lepak dan pergaulan bebas serta pakaian tidak sopan terutama dalam kalangan remaja dan belia.
“Kita mahu anak muda menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita dan mengelakkan budaya lepak selain membimbing masyarakat supaya tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang dan syariah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada operasi itu.
Beliau berkata, individu yang diberi notis perlu hadir ke Jaheaik pada 27 November ini untuk sesi kaunseling manakala operasi sama akan diteruskan setiap minggu sepanjang musim cuti persekolahan.
“Minggu depan penguatkuasaan akan ke dilaksanakan secara menyeluruh ke semua pasar raya di negeri ini dan kemudian ke kawasan peranginan Pantai Cahaya Bulan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!