Kekalahan ini pahit untuk ditelan: Syed Saddiq
PONTIAN - Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kekalahan besar calon PH, Karmaine Sardini pada pilihan raya kecil(PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah pahit untuk ditelan.
Syed Saddiq menerusi ciapan pada laman Twitter peribadinya menyatakan kekalahan besar itu menunjukkan rakyat sudah bersuara.
Menurutnya, suara rakyat adalah merupakan suara keramat dan pihaknya memohon maaf kepada seluruh golongan belia rakyat Malaysia di atas kekurangannya.
"Kekalahan ini pahit untuk ditelan... Rakyat sudah bersuara. Suara rakyat, suara keramat.
"Saya ikhlas memohon maaf kepada seluruh golongan belia Malaysia di atas segala kekurangan saya.
"Kemarahan ini perlu dijawab dengan tindakan. Sekali lagi, minta maaf," katanya.
Syed Saddiq menghantar ciapan berkenaan susulan kekalahan besar dialami calon PH dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu), Karmaine Sardini pada pilihan raya kecil(PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.
Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata, keputusan PRK itu paling jelas.
“Beliau harus tahu apa yang patut dilakukan dengan segera. Jangan dolak dalik lagi,” katanya menerusi hantaran Twitter miliknya malam ini.
Menerusi keputusan tidak rasmi, Karmaine hanya menerima 9,856 undi, ditewaskan pencabarnya dari Barisan Nasional(BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang berjaya meraih 24,493 undi.
Empat calon lain iaitu Wendy Subramaniam dari Gerakan menerima 1,649 undi; Datuk Ir Badrulhisham Abdul Aziz dari Berjasa(812 undi; Faridah Aryani Abdul Ghaffar dari Bebas(32 undi) dan Dr Ang Chuan Lock(375 undi)
Jumlah keseluruhan pengiraan undi adalah 37,217 undi dengan peratusan keluar undi dicatatkan sebanyak 78 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!