BN rampas semula Parlimen Tanjung Piai

Dr Wee Jeck Seng kembali merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan keputusan cemerlang pada pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung di sini hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Wee Jeck Seng kembali merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan keputusan cemerlang pada pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung di sini hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Wee Jeck Seng kembali merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan keputusan cemerlang pada pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung di sini hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Jeck Seng berjaya mengenepikan saingan daripada lima calon lain selepas dua minggu tempoh berkempen dengan kelebihan majoriti sebanyak 15,086 undi.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh undi 25, 466 mengatasi Karmaine Sardini (Pakatan Harapan) yang memperoleh 10,380 undi, Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) sebanyak 1,707 undi dan Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dengan 850 undi.

Manakala dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar pula masing-masingnya memperoleh 380 undi dan 32 undi.

Terdahulu, keputusan rasmi PRK Parlimen Tanjung Piai itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir di pusat penjumlahan undi PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini sebentar tadi.

PRK kali ini turut menunjukkan peratusan keluar mengundi lebih 74.5 peratus daripada 52,471 jumlah pemilih yang berdaftar.

Sebelum ini, kerusi Parlimen berkenaan disandang oleh PH, iaitu Allahyarham Datuk Dr Md Farid Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Dr Md Farid berjaya memenangi kerusi itu dengan kelebihan 524 undi mengalahkan penyandangnya iaitu Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen bagi dua penggal di Tanjung Piai.

Artikel Berkaitan:

Jeck Seng yang juga anak jati kelahiran Pontian dilahirkan pada 20 April 1964 (55) dan memulakan karier politiknya dengan menyertai MCA pada 1989 sebelum bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas dan mengalahkan Tan Hang Meng (DAP) pada PRU11, Mac 2004.

Pada PRU12, beliau sekali lagi menang sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai dengan mengalahkan Ahmad Ton (DAP) dengan majoriti 12,371 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!