Lagi langkah tangani isu Felda

A
A
A

HENDAK perbetul keadaan bukanlah mudah walaupun kita sudah ada kerajaan baharu. Bagi kerajaan baharu pula, nak perbetul keadaan perlukan masa dan duit yang banyak.

Saya dah banyak kali cerita tentang Felda. Walaupun kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) sudah suntik RM6.3 bilion ringgit modal baharu tapi masalahnya tidak selesai lagi.

Alhamdulillah harga minyak kelapa sawit dunia mula naik. Dengan itu, harga buah kelapa sawit pun naik. Harga tandan kelapa sawit mentah (FFB) bagi gred A pada 15 November ialah antara RM511 dan RM504 satu tan metrik bergantung kepada wilayah.

Inilah masalah tanaman kelapa sawit. Tak macam kelapa, padi, sayur-sayuran dan ikan, penanam kelapa sawit tak boleh proses atau jual sendiri hasil keluaran mereka. Mereka kena jual kepada kilang. Hanya kilang boleh proses buah kelapa sawit.

Ertinya, penanam tak ada kawalan langsung ke atas pasaran keluaran mereka. Macamlah juga dengan getah. Itu adalah kerana kelapa sawit dan getah adalah tanaman industri.

Sebab itulah kerajaan sekarang sedang fikir macam mana nak kurangkan pergantungan peneroka Felda khasnya dan pekebun kecil kelapa sawit amnya kepada tanaman itu.

Antara yang kerajaan sedang galakkan ialah supaya peneroka dan pekebun kecil tanam tanaman selingan jangka pendek yang boleh diproses atau dijual sendiri untuk dapat duit tunai tambahan.Saya juga cadangkan supaya penerokan Felda dan para petani cari jalan untuk menabung, kalau tak banyak sikit.

Zaman dulu, masa zaman orang Melayu susah, mereka simpan duit sampai cukup untuk naik haji, beli sawah ladang dan binatang ternakan.

Artikel Berkaitan:

Masa itu tak ada Tabung Haji, tak ada subsidi haji dan ke Makkah pun naik kapal laut.

Dalam usaha seterusnya untuk perbetul keadaan di Felda, pengurusan baharu Felda dan anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC), pada 14 November tahun lalu telah kemukakan saman sivil ke atas 21 orang, syarikat dan jabatan.

Tujuannya adalah untuk dapat balik secara sah dan sahih tanah milik Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur serta minta pampasan dan ganti rugi atas kehilangan tanah itu.

Tanah tersebut telah jatuh ke tangan pihak ketiga pada zaman pemerintahan kerajaan kleptokrasi ketika mana yang jadi Pengerusi Felda ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Yang nombor satu kena saman ialah Mohd Isa sendiri diikuti oleh pengganti beliau, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Yang lain ialah bekas ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan Felda dan FIC, wakil-wakil kerajaan lama dalam kedua-dua syarikat itu serta syarikat swasta yang dapat tanah Felda itu.

Saya dah tulis berkenaan kejadian luar biasa itu sejak tahun 2017 lagi apabila saya mendapat maklumat bahawa geran tanah Felda di Jalan Semarak dipegang oleh seorang perempuan yang tidak ada kena-mengena dengan Felda atau kerajaan.

Perempuan ini adalah antara yang dipanggil untuk bagi keterangan kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin pada 31 Mei tahun lalu.

Namanya tidak ada dalam senarai yang kena tapi nama syarikat dia iaitu Synergy Promenade Sdn Bhd ada tersenarai sebagai responden.

Felda dan FIC minta tiga perkara. Satu, bagi balik geran 17 lot tanah Jalan Semarak, dua, batal perjanjian dengan Synergy Promenade dan tiga, bayar pampasan serta ganti rugi RM2.06 bilion.

Perkembangan ini sepatutnya jadi pengajaran dan amaran kepada pengerusi, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya amanah, cekap dan jalankan tugas fidusiari dengan sebaik-baiknya.

Macam itu juga dengan syarikat swasta dan usahawan yang berniaga dengan badan berkanun dan GLC. Kalau mereka terbabit dengan rasuah, mereka juga akan dikenakan tindakan.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!