Jangan pinjamkan kenderaan kepada warga asing
GEORGETOWN - Pemilik yang meminjamkan kenderaan mereka kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu sah sehingga menyebabkan kemalangan akan berdepan tindakan tegas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, pemilik kenderaan akan digantung lesen memandu dan berdepan dengan hukuman berat sekiranya kenderaan mereka terlibat dengan kemalangan yang meragut nyawa pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, pemilik juga perlu bertanggungjawab sekiranya kenderaan mereka yang dipandu warga asing terlibat dengan kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan pada orang lain.
"Saya memberi amaran tegas kepada pemilik kenderaan agar jangan sesekali meminjamkan atau membenarkan warga asing tanpa lesen sah memandu kenderaan mereka.
"Sekiranya terlibat dengan kemalangan, pemilik kenderaan akan dikenakan tindakan tegas seperti ditahan atau digantung lesen memandu. Selain itu, pemandu juga akan didakwa mengikut kesalahan jenayah iaitu dengan cuai mendatangkan kematian (jika sesuai). Kita memandang serius dengan kes-kes seperti ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut di Ibu Pejabat Polis Timur Laut di sini tadi.
Narenasagaran berkata, polis akan menahan pemandu wanita warga Vietnam yang merempuh pekerja syarikat pembersihan berhampiran Bangunan Persekutuan, Jalan Anson di sini pagi semalam.
"Ketika ini, dia masih dirawat di sebuah hospital swasta. Kita akan menahannya untuk diambil keterangan selepas dia dibenarkan keluar hospital nanti.
"Dia mempunyai lesen sah Vietnam namun kita akan mendapatkan pengesahan dari JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) berhubung status lesennya. Ketika berlaku kemalangan, dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah," katanya.
Dalam kejadian 6.40 pagi semalam, mangsa, Mukhtar Bahari, 62, parah dan dirawat di zon merah Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dirempuh kereta dipandu seorang wanita.
Mangsa yang juga pemandu lori sampah syarikat pembersihan terbabit sedang mencuci bahagian belakang kenderaannya itu yang diparkir di bahu jalan.
Sebelum ini, seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) maut dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita warga China yang dipercayai mabuk di Datuk Keramat di sini.
Mohaidin Gani Mohamad, 59, merupakan Pembantu Kesihatan Awam MBPP maut di tempat kejadian akibat dirempuh kereta Honda Accord dipandu wanita tersebut.
Turut dirempuh, sebuah kereta dan sebuah motosikal lain namun pemandu kereta dan penunggang motosikal tersebut tidak mengalami kecederaan
Terdahulu Narenasagaran ditemui selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut di Ibupejabat Polis Timur Laut di sini tadi.
Majlis penyerahan tugas itu dilakukan oleh Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang kepada Asisten Komisioner Soffian Santong yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Timur Laut yang baharu.
Che Zaimani telah dinaikkan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner dan akan bertugas sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!