Sharifah bertegas pelantikannya sah
KUALA BERANG - Ketua Wanita PKR Terengganu, Sharifah Norhayati Syed Omar tegaskan pelantikannya bagi jawatan itu adalah sah dan telah pun menerima watikah.
Sehubungan itu, beliau enggan melayan kenyataan-kenyataan kurang berasas serta tidak akan berundur, sebaliknya akan memegang jawatan itu sebagai satu tanggungjawab.
"Sebenarnya saya orang yang bekerja, saya tidak suka bercakap...saya bekerja dan saya rasa kenyataan ini (tidak mengikut peraturan parti) tiada asas. Lantikan telah disahkan, surat pelantikan pun dah ada.
"Saya juga sangkal dakwaan mengatakan tiada rundingan dibuat terlebih dahulu sedangkan individu berkenaan turut hadir dalam perjumpaan bersama Ketua Wanita PKR Pusat, Haniza Talha, 16 November lalu.
"Enam ketua wanita cabang hadir pada masa itu, kita ada rekod kehadiran mereka. Pelantikan saya sebagai Ketua Wanita PKR Terengganu adalah ikut peraturan kerana secara rasmi telah dibuat (terima surat watikah) pada 26 Disember lalu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas isu itu.
Ketua-ketua Wanita Cabang PKR Terengganu yang sebulat suara menolak pelantikannya kerana disifatkan tidak mengikut peraturan parti.
Terdahulu, beliau menziarahi seorang pesakit angin ahmar, di Kampung Buluh, di sini, semalam, sempena program Ziarah Kasih.
Tambahnya, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) membuat pelantikan 16 Disember lalu dan beliau akan terus komited membina kekuatan PKR khususnya pada wanita agar disegani semua pihak.
Sementara itu, mengulas Mesyuarat Wanita PKR Terengganu yang dipengerusikan beliau pada 28 Disember lalu di Hotel Sumai, Kuala Terengganu, beliau memberitahu telah menjemput kesemua ketua wanita cabang hadir ke mesyuarat tersebut
"Bagi yang pertikaikan saya buat mesyuarat pimpinan tidak menjemput ketua wanita cabang tidak benar. Setiausaha saya telah jemput. Jemputan pada 26 Disember tetapi tiada sebarang respon.
"Teknologi tidak menipu, bila mesej dihantar ia akan sampai dan rekod, manusia boleh menipu. Kami rasa telah buat satu benda yang telah ikut peraturan...tiada apa-apa peraturan yang kami langgar.
"Saya juga nasihatkan Azan Ismail (Pengerusi PKR Terengganu) agar tidak campuri urusan sayap wanita, betulkan rumah sendiri dulu, buatkan struktur jawatankuasa yang betul di seluruh cabang.
"Buktikan beliau seorang pengerusi negeri dan saya akan jaga wanita," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!