Saran tubuh kaukus anti tibi di Parlimen

Dr Azman
Dr Azman
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan disaran menubuhkan kaukus anti tibi (Tuberkulosis) di Parlimen untuk selaraskan usaha menangani penyakit itu selain dapat mewujudkan undang-undang berkaitan untuk membasmi tibi secara berkesan.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, ia juga dapat menjamin peruntukan bersesuaian disalurkan kepada usaha membasmi penyakit itu.

Menurutnya, ini kerana tibi kini antara ancaman kesihatan besar kepada negara iaitu 25,838 kes (2018) dengan kematian sebanyak 2,184.

“Untuk membasmi tibi, saya cadangkan agar Parlimen tubuhkan kaukus khusus anti tibi di Parlimen Malaysia. Antara lain Global Tibi Kaukus, pembuat dasar yang telah wujud di 150 negara dengan 50 negara aktif melibatkan 2,500 ahli Parlimen, sekiranya ditubuhkan dalam negara dan diaktifkan ia dapat menjadi jambatan kepada pembuat dasar dan penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Azman berkata, penyakit berjangkit ini juga merupakan pembunuh terbesar di dunia di mana dari tahun 2000 hingga 2017, merekodkan lebih 36 juta kematian dengan jumlah kes 190 juta di seluruh dunia.

“Jumlah mangsa tibi yang maut adalah lebih ramai berbanding mangsa HIV dan malaria yang dicampurkan. Ia kini ancaman kesihatan terbesar, Malaysia juga tidak terkecuali,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh, Filipina berjaya mencapai 91 peratus kejayaan rawatan tibi setelah negara itu menubuhkan kaukus yang aktif serta mewujudkan undang-undang anti tibi.

“Peratus kejayaan rawatan tibi negara hanya 81 peratus pada 2018, ia tidak cukup baik. Negara lain lebih berjaya mengawal tibi, antaranya Indonesia (86 peratus), Vietnam (92 peratus) serta Kampuchea (94 peratus),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Azman berkata, disebabkan itu negara ini perlu aktifkan kaukus dan menghidupkan pertubuhan masyarakat untuk tangani penyakit itu bersama Kementerian Kesihatan.

“Tanpa persediaan mencukupi, tibi boleh menjadi pembunuh tertinggi dan menjadi masalah besar pada masa hadapan. Sedangkan beberapa dekad lalu, kita berjaya kawal tibi. Mungkin disebabkan terlalu selesa dan alpa, kita lupa bahaya penyakit ini,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga pembawa tibi namun bukan penghidap.

“Pakar menyatakan sehingga 2022, kita perlu mengesan dan merawat seramai 119,800 penduduk Malaysia yang dikatakan pembawa penyakit ini termasuk kanak-kanak,” katanya.

Tambahnya, masalah lain yang dihadapi termasuk rawatan yang lama dan mempunyai kesan sampingan selain kekerapan yang tidak dapat ditanggung pesakit.

“Ini menyebabkan berlaku keciciran atau kegagalan di peringkat rawatan. Penyelesaian lain adalah syorkan penubuhan kaukus di Parlimen melibatkan kerajaan dan pembangkang bagi mengelak negara mewarisi penyakit ini pada masa depan,” katanya.

Dr Azman yang mewakili Parlimen Malaysia ke Hyderabad, India, bulan lalu dalam persidangan antarabangsa membasmi tibi anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tegaskan, beliau bersedia membantu dalam penubuhan kaukus di Parlimen bagi membasmi tibi.

“Seluruh masyarakat harus sedar dan terlibat dalam usaha membasmi tibi termasuk peringkat negeri. Contohnya, di Kedah terdapat 923 kes dengan 105 kematian setakat Ogos lalu,” katanya.

Menurutnya, tibi menduduki tempat ketiga tertinggi penyakit berjangkit di Kedah selepas denggi sebanyak 1,266 kes dengan empat kematian diikuti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) sebanyak 1,156 kes sehingga Ogos 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!