Tujuh pelajar disiasat kes rogol dibebaskan esok
TAWAU - Tujuh pelajar lelaki yang ditahan reman bagi siasatan kes rogol akan dibebaskan esok dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya telah menyelesaikan siasatan kes berkenaan dan tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh tahanan reman tujuh pelajar berusia 17 tahun itu yang akan tamat esok.
"Polis juga mengambil kira kesemua mereka ini akan terlibat dengan peperiksaan Sijil SPM tahun ini, kita akan bebaskan mereka dengan jamin polis dahulu.
"Mangsa juga sudah menjalani rawatan pemeriksaan di hospital," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Fun Ride dan Fun Run PDRM Tawau di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar dirogol di sekolah: Tujuh pelajar lelaki direman
Peter berkata, pihaknya akan menyiapkan kertas siasatan dan jika terdapat bukti kukuh, pertuduhan akan dilaksanakan dan suspek akan dituduh di mahkamah pada satu tarikh yang ditetapkan selepas peperiksaan SPM tamat.
Semalam media melaporkan tujuh pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah sekolah di Tawau ditahan reman selama tiga hari atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dari sekolah yang sama.
Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah bilik di sekolah berkenaan.
Berkaitan program itu Peter berkata, ia merupakan platform sesuai bagi mengeratkan hubungan antara polis dengan komuniti setempat dalam usaha mencegah jenayah.
Justeru katanya, masyarakat harus bertindak sebagai mata dan telinga kepada polis dalam melakukan pencegahan jenayah di kawasan penempatan masing-masing.
Selain menghubungi balai polis terdekat, orang awam juga boleh menggunakan aplikasi 'Volunteer Smartphone Patrol' (VSP) iaitu menyalurkan maklumat jenayah menerusi kaedah digital, katanya.
Seramai 600 peserta mengambil bahagian acara Fun Ride serta Fun Run PDRM Tawau sempena program komuniti polising dilaksanakan polis daerah ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!