Jeck Seng bukan jenis yang menang, kemudian hilang!
PONTIAN - "Kita tahu dia buat kerja, bukannya menang dan kemudian 'hilang'." Demikian kata pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Koh Fui Voon berhubung kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, semalam.
Fui Voon, 31, berkata, Jeck Seng yang pernah menyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal berturut-turut Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) memainkan peranannya selaku wakil rakyat dengan cemerlang dan sering membantu penduduk tanpa mengira kaum.
Sehubungan itu, dia mengakui tidak hairan dengan kemenangan besar diperoleh Jeck Seng pada PRK tersebut.
"Sejak dahulu dia sangat bagus, terutamanya dalam menolong ramai orang tanpa mengira bangsa," katanya.
Sementara itu, rata-rata pengundi yang menyambut baik kemenangan Jeck Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai, semalam berharap beliau dapat membantu membawa suara rakyat ke Parlimen.
ARTIKEL BERKAITAN: Ini adalah tsunami rakyat, kata Ahmad Jazlan
Peniaga, Zuraida Ahmad, 46, berkata, tanggungjawab membawa isu-isu rakyat di kawasan Parlimen Tanjung Piai dilihat mampu dibawa calon Barisan Nasional (BN) itu termasuk kenaikan harga barang ketika ini.
Menurutnya, Jeck Seng sememangnya dikenali penduduk di kawasan berkenaan sejak sekian lama dan dianggap sebagai calon yang paling sesuai bagi tujuan berkenaan selain berharap dia dapat mentadbir dengan baik.
"Selain itu, kita berharap agar beliau dapat bekerja dengan baik dan jujur demi membela nasib rakyat," katanya.
Pendapat itu turut dipersetujui Ibrahim Bahari, 65, yang turut positif dengan kemenangan Jeck Seng, selain menyifatkannya sebagai pengajaran kepada Pakatan Harapan (PH).
Katanya, walaupun Jeck Seng bukan mewakili kerajaan, namun Ibrahim tetap yakin segala bantuan dapat disalurkan bagi membela nasib rakyat.
Jeck Seng kembali merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan keputusan cemerlang pada PRK Parlimen Tanjung Piai dengan kelebihan majoriti sebanyak 15, 086
Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu berjaya memperoleh undi 25,466 mengatasi Karmaine Sardini (Pakatan Harapan) dengan 10, 380 undi, Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) 1, 707 undi dan Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah) 850 undi.
Dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!