Gotabaya Rajapaksa dahului keputusan Pilihan Raya Presiden Sri Lanka
COLOMBO - Bekas Setiausaha Keselamatan era perang, Gotabaya Rajapaksa dilaporkan mendahului keputusan Pilihan Raya Presiden Sri Lanka yang diadakan dengan kawalan keselamatan ketat beberapa bulan selepas negara itu digemparkan dengan serangan ganas pada April lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini memaklumkan calon utama parti pembangkang berusia 70 tahun itu mendahului dengan 52.87 peratus manakala pesaingnya, Sajith Premadasa meraih 39.67 peratus undi selepas kiraan kira-kira 500,000.
Sementara itu, calon haluan kiri, Anura Kumara Dissanayake berada di tempat ketiga dengan 4.69 peratus undi.
Difahamkan, terdapat 32 calon bertanding pada kali ini.
Dalam kempen pilihan raya sebelum ini, Rajapaksa berikrar untuk membaik-pulih keselamatan negara dan memerangi keganasan.
"Kami mahu pembuat keputusan yang tidak gentar dengan sebarang ancaman," kata nelayan di perkampungan Mirissa, Pradeep Kumara, 56.
Sementara itu, pesaingnya, Premadasa, 52, berjanji untuk memberi perumahan percuma, pakaian seragam sekolah dan pad sanitari kepada wanita yang dilihat berjaya meraih sokongan golongan tersebut.
"Premadasa memahami keperitan hidup orang miskin. Kami mahu pemimpin yang rendah diri dan memimpin melalui tauladan dan bukan yang hidup mewah," kata pengundi, H E Edirimanne, 27.
Semalam, sekumpulan lelaki bersenjata bertindak menembak bas membawa pengundi Islam ke pusat pengundian di daerah Anuradhapura di tengah Sri Lanka.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan saksi mendakwa insiden itu hanya menyebabkan tayar kenderaan itu terbakar.
Penduduk Islam yang meliputi hampir 10 peratus daripada 22 juta populasi di negara itu sering menjadi sasaran sejak serangan pada April lalu.
Kira-kira 16 juta penduduk layak mengundi dan mereka dibenarkan memilih tiga calon mengikut turutan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!