4 pelatih CCRC lolos diberkas semula

Salah seorang pelatih, Johari yang berjaya ditahan hari ini.
Salah seorang pelatih, Johari yang berjaya ditahan hari ini.
A
A
A

RAUB - Empat daripada tujuh pelatih Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Sungai Ruan, Raub yang cuba lolos berjaya diberkas dalam tiga tangkapan di lokasi berasingan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi, tiga pelatih terbabit, P Suris, 39, Ooi Chuan Tat, 42 dan Mohd Yunus Abu Bakar, 44, menaiki sebuah motosikal jenis Honda Wave hitam bersama-sama sebelum ditahan oleh anggota unit peronda polis (MPV) di Jalan Tras di hadapan Taman Raub Jaya 5, di sini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, anggota MPV telah menahan motosikal yang dinaiki mereka, namun Mohd Yunus berjaya melarikan diri.

"Dua suspek iaitu P Suris yang menunggang motosikal yang disyaki telah dicuri bersama Chuan Tat yang sedang membonceng ditahan selepas pengecaman wajah mendapati mereka adalah pelatih pusat tersebut yang telah melarikan diri semalam.

"Anggota polis turut berjaya menahan Mohd Yunus di tepi jalan Taman Raub Jaya 5 kira-kira jam 2.20 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek telah menyembunyikan diri di kawasan hutan kira-kira 5 kilometer (km) dari pusat terbabit dan telah keluar dari hutan pada jam kira-kira jam 1 pagi tadi sebelum ke Kampung Tok Machang, Sungai Ruan dan dipercayai turut mencuri motosikal berkenaan.

Ujarnya, seorang lagi pelatih, Johari Mohammad, 50, berjaya ditahan di bahagian belakang rumah penduduk di Kampung Tok Machang, di sini oleh pegawai CCRC terbabit kira-kira jam 9.25 pagi hasil maklumat penduduk kampung tersebut.

"Ketiga-tiga suspek yang menaiki motosikal terbabit disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) kerana disyaki mencuri motosikal terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis dan CCRC masih giat menjalankan langkah-langkah mengesan tiga lagi baki pelatih, Tan Sian Soon, 44, Ng Swee An, 47, dan Azreen Kusai, 36, yang masih belum ditemui," katanya.

Ujarnya, ketiga-tiga pelatih terbabit dipercayai masih berada di kawasan Raub dan berdasarkan maklumat daripada pelatih yang ditahan, mereka dalam keadaan lapar, penat, takut serta tidak memiliki wang.

Sebelum ini, tujuh pelatih terbabit berjaya melarikan diri dengan memecahkan tingkap tandas asrama CCRC tersebut dan keluar melalui pagar belakang pusat itu awal pagi semalam.

ARTIKEL BERKAITAN Tujuh pelatih CCRC Sungai Ruan lolos

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!