Majlis Presiden bincang kekalahan PH, ketidakpuasan hati rakyat minggu depan
SEREMBAN - Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai termasuk mengenai ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden yang dijadualkan minggu hadapan.
Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, mesyuarat berkenaan akan melakukan 'post-mortem' mengenainya dan seterusnya merangka tindakan susulan.
"Saya rasa ada satu, dua faktor besar yang PH perlu buat analisa terhadap keputusan Tanjung Piai. Jadi saya sendiri sangat terbuka terima kekalahan ini dan satu, dua faktor itu seharusnya kita bincang dalam Majlis Presiden supaya ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan hari ini dapat kita rungkai.
"Apa pun saya menganggap fenomena ini hanya bersifat sementara sebab biasanya dalam mana-mana PRK, ada kumpulan yang melaksanakan hak dalam bentuk protes.
"Saya melihat perkara itu penting supaya apa-apa yang kita fikirkan perlu untuk struktur semula, akan kita lakukan di bawah kesepakatan kita dalam PH," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan kali ke-4 di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Timbalan Amanah negeri yang juga Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Mohamad Taufek Abd Ghani.
Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani selain itu berkata, kekalahan PH juga berkemungkinan disebabkan penjelasan isu serta cerita mengenai kejayaan dasar yang dilaksanakan kerajaan tidak sampai ke peringkat akar umbi.
"Banyak kisah kejayaan yang tak sampai misalnya kita berjaya wujudkan kerajaan yang berintegriti, kita dah tak dengar kes-kes rasuah, semua dapat kita lakukan secara telus.
"Mungkin kekuatan media sosial PH yang saya rasa perlu ditingkatkan kerana kebanyakan orang kampung hari ini ada telefon pintar di tangan.
"Ini trend permodenan teknologi yang saya rasa PH tidak dapat untuk sampaikan apa jua komunikasi kepada peringkat paling bawah (di Tanjung Piai)," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!