'Apa tidak kena dengan kaji selidik IDE?'
SHAH ALAM - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada dua pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan kaji selidik yang dilakukan Institut Darul Ehsan (IDE).
Penganalisis Politik dari Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff berkata, IDE menyatakan PH mendahului BN sebanyak sembilan peratus pada PRK Semenyih dan Tanjung Piai.
Bagaimanapun, menurutnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila BN menang di kedua-dua PRK tersebut.
"Agaknya apa yang tidak kena dengan kaji selidik IDE? PRK Semenyih menggunakan sampel 1,142 pengundi, kaji selidik IDE pada 31 Januari hingga 1 Februari 2019 mengumumkan PH mengatasi BN dengan 9 peratus.
"PH mendapat 46 peratus sokongan berbanding 37 peratus sokongan untuk BN. Malangnya, BN yang muncul sebagai pemenang dengan majoriti 1,914 undi," katanya melalui satu kenyataan di Facebook semalam.
Katanya, kaji selidik IDE yang dilakukan pada 9 hingga 11 November bagi PRK Tanjung Piai pu;a menggunakan sampel 1,200 pengundi.
"IDE mengumumkan PH mengatasi BN sebanyak sembilan peratus dengan mendapat 53 peratus sokongan berbanding BN, 44 peratus.
"Malangnya, pada akhirnya BN juga yang muncul sebagai pemenang. Bukan dengan majoriti biasa-biasa tetapi pada jumlah terlalu besar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!