'Peluang pekerjaan, kemudahan hidup berdikari OKU juga penting'
PETALING JAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berusaha memastikan kemudahan seumur hidup orang kurang upaya (OKU) di negara ini.
Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kementerian itu sedang bekerjasama dengan kementerian lain bagi memenuhi, memahami kehendak dan keperluan golongan berkenaan di pelbagai peringkat.
Menurutnya, kebanyakan perkara yang dibincangkan membabitkan pembangunan OKU ialah pendidikan sedangkan peluang pekerjaan dan kemudahan untuk mereka hidup berdikari juga penting.
"Jadi kita kena bekerjasama dengan kementerian yang lain bagi memastikan infrastruktur itu wujud untuk seumur hidup bagi seorang OKU.
"Kementerian Pendidikan Malaysia sangat bagus. RM23juta diperuntukkan tahun depan untuk memastikan sekolah mesra OKU satu permulaan kemudahan," katanya selepas merasmikan Simposium 'Malaysia Applied Behaviour Analysis International 2019 di Universiti Sunway di sini hari ini.
Katanya, pengurusan sekolah kerajaan perlu bersedia kerana pendaftaran kanak-kanak di bagi tempoh Januari hingga 17 Oktober tahun ini meningkat kepada 11,988.
Selain itu, Hannah berkata, kementeriannya masih dalam proses merealisasikan polisi satu peratus pekerja di setiap kementerian terdiri daripada OKU.
"Selepas habis sekolah atau belajar, peluang pekerjaan sangat penting kepada golongan ini. Kita dalam proses dengan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk satu peratus sasaran (pekerja OKU) dalam perkhidmatan awam boleh capai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!