Sorok senapang, pistol buatan sendiri bawah lantai rumah
KOTA BHARU - Polis menahan dua lelaki disyaki memiliki selaras senapang dan pistol buatan sendiri yang disorokkan di bawah kayu lantai dalam sebuah rumah tanpa nombor di Jalan Bachok, Kampung Padang Mokan, Peringat, Khamis lalu.
Kedua-dua suspek berusia 27 dan 49 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan polis dari Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan pada jam 4.30 petang.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, senapang patah berwarna hitam tanpa jenama manakala pistol warna perak diperbuat daripada kayu dan besi paip.
“Pemeriksaan turut menjumpai lima butir peluru penabur 12 Bore berjenama Zuber berwarna putih,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal suspek mengaku memperoleh kedua-dua senjata api tersebut daripada seorang rakan dengan panggilan Mat Yie yang berasal deri Selising, Pasir Puteh.
“Siasatan masih diteruskan bagu mengenal pasti motif sebenar pemilikan senjata api tersebut dan sama ada dibeli atau disewa.
“Kami tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek ini menggunakan senjata api itu untuk tujuan samun dan sedang menyiasat sama ada mereka terlibat dalam kes samun terdahulu,” katanya.
Tambahnya, polis turut menemukan satu plastik biru di dalamnya berisi 50 pil metamphetamine dianggarkan bernilai RM500 dan urin mereka didapati positif dadah jenis metamphetamine.
“Suspek yang berusia 49 tahun turut mempunyai rekod lampau berkait kesalahan narkotik. Kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjta 1960 kerana memiliki senjata api serta peluru,” katanya.
Untuk rekod bermula Januari hingga hari ini sejumlah lapan kes membabitkan senjata api tiruan direkodkan dengan 10 rampasan senjata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!