KKM, JPA bincang isu doktor lantikan kontrak
IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mencari kaedah terbaik menangani isu doktor lantikan kontrak termasuk mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, perbincangan itu untuk memperhalusi ketelusan dan kelayakan lantikan kepada pegawai perubatan secara tetap.
Pada masa sekarang, katanya, doktor-doktor baharu yang sudah menjalani latihan mesti berkhidmat sebagai pegawai perubatan di hospital kerajaan selama dua tahun.
"Bagaimanapun kerajaan tidak wajib mengambil mereka sebagai kakitangan tetap, ada yang terus dilanjutkan tempoh kontrak mereka.
"Keadaan ini memberi kesan kerana lantikan kontrak melakukan beban kerja yang sama, namun diberi gred skala gaji lebih rendah berbanding mereka yang diserap sebagai doktor tetap," katanya.
Media sebelum ini melaporkan situasi doktor lantikan kontrak di negara ini yang merasakan mereka diketepikan dengan diberi gaji lebih rendah serta menutup peluang menyambung pengajian ke peringkat tertinggi sekali gus mengisi jawatan sebagai doktor pakar pada masa hadapan.
Seramai 6,307 pelajar perubatan ditawarkan sebagai doktor pelatih kontrak dari Januari hingga November tahun ini, manakala 1,152 pelajar masih menunggu penempatan untuk latihan.
Dr Boon Chye berkata, kementerian juga sedang meneliti cara supaya lepasan graduan perubatan dapat mengikuti program latihan dalam tempoh enam bulan berbanding satu tahun atau lebih.
"Kita harap menjelang tahun hadapan, tempoh ini dapat dikurangkan antara tiga atau enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian, itu sasaran kementerian," katanya.
Sementara itu, Dr Boon Chye berkata, KKM lebih menitikberatkan kesan jangka panjang rokok elektronik atau vape dari segi kesihatan berbanding impak ekonomi kepada negara.
Menurutnya, kementerian menyedari perkembangan industri itu yang menjadikan Malaysia adalah antara lima negara pengeluar utama, namun penggunaan vape terbukti berbahaya dan melampaui keraguan.
"Penggunaan vape di negara ini menimbulkan kebimbangan terutama dalam kalangan anak muda, mereka menganggap ia gaya hidup terkini hinggakan beberapa selebriti turut mempromosikan sebagai satu trend, ini sesuatu yang salah.
"Tanpa kita sedari, ramai anak muda bukan perokok mengalami ketagihan nikotin akibat vape dan ini akan menjadi masalah kesihatan berpanjangan," katanya sebagai mengulas saranan Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid yang mahu kementerian itu melihat industri vape sebagai aktiviti boleh menjana pendapatan negara,
Khamis lalu, Abdullah Sani dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, industri vape membuka peluang pekerjaan dengan kemunculan ramai usahawan bumiputera yang menceburkan diri dalam perniagaan.
Katanya, kerajaan wajar mengambil peluang supaya industri vape boleh menyumbang hasil pendapatan negara di samping dapat mengukuhkan ekonomi rakyat Malaysia sendiri.
Terdahulu, Dr Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng merasmikan Kempen Derma Darah dan Organ 2019 anjuran Ahli Lembaga Pelawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan kerjasama Persatuan Kwang Siew di lobi utama sebuah pasar raya di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HRPB, Omar Tarmizi Ahmad Shaibi; Timbalan Pengarah HRPB, Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid dan Pengerusi Keturunan Kwang Siew, Chow Chee Peng.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!