Tiga tekong darat ditahan
PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Selangor di muara Sungai Langat menahan tiga individu termasuk seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki sebagai tekong darat yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Mereka ditahan di hadapan sebuah kolam memancing dan pemeriksaan juga menemui wang sebanyak RM3,050 dalam kenderaan yang dipandu salah seorang wanita itu serta senjata tajam jenis kerambit pada badan lelaki Indonesia terbabit.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Abdul Hakim Mohd Idris berkata, operasi pada jam 11.25 malam itu turut menahan seramai 14 individu warga tempatan dan Indonesia termasuk seorang kanak-kanak.
"Seramai tiga lelaki, dua wanita serta seorang kanak-kanak perempuan turut ditahan ketika menunggu bot untuk membawa mereka keluar dari Malaysia," katanya.
“Selain itu seramai empat lelaki serta seorang wanita termasuk tekong dan awak-awak yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 45 tahun turut ditahan bersama bot gentian kaca kerana dipercayai cuba menyeludup masuk ke negara ini,” katanya.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!