Takut ditangkap polis, amah pulangkan barang kemas RM125,000
BUKIT MERTAJAM - Pelbagai barangan kemas bernilai RM125,000 dan wang tunai RM2,600 yang dilarikan pembantu rumah warga Indonesia ditemui semula di belakang rumah pemiliknya tengah hari semalam.
Pemilik rumah, Muhammed Abu Talib Mohamed Sagubar Ali, 33, berkata, barang kemas dan wang tunai itu ditemui dalam sebuah beg di belakang rumahnya di Bandar Perda dipercayai dipulangkan oleh suspek.
Menurutnya, dia terdengar bunyi seperti barang terjatuh di belakang rumah lalu bergegas untuk memeriksa dan mendapati sebuah beg di belakang pintu rumah.
“Apabila dibuka, saya dapati semua barangan kemas dan wang tunai yang hilang ada dalam beg tersebut.
“Saya percaya, pembantu rumah saya yang melarikan semua barang berharga ini telah memulangkan semula dengan mencampakkannya ke belakang rumah kerana takut ditangkap polis selepas berita mengenainya tular di media sosial,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dia yang juga pengurus operasi sebuah syarikat logistik berkata, dia tidak menyangka pembantu rumahnya itu telah memulangkan semula kesemua barang kemas milik ibunya, Zeenathunisa Packer Meera Sahib, 64.
“Setelah diperiksa, kesemua barangan kemas dan wang tunai yang hilang ada kecuali sebentuk cincin tetapi saya tak kisah asalkan barangan kemas lain dan wang tunai tidak hilang dan masih dalam keadaan baik. Saya menghubungi polis bagi memaklumkan tentang perkara ini dan polis telah mengambil semua barangan kemas itu untuk siasatan lanjut.
“Saya bersyukur barangan bernilai yang hilang ditemui semula dan ibu saya langsung tidak panik apabila ia hilang. Dia amat positif dan yakin barangan kemas yang disimpan lebih 10 tahun dan sebahagiannya adalah hadiah daripada nenek serta ayahnya akan dipulangkan semula,” katanya.
Muhammed Abu Talib berkata, dia dan keluarganya telah memaafkan pembantu rumahnya itu dan menyerahkan kes tersebut kepada polis untuk siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, walaupun barangan kemas tersebut telah ditemui, polis masih giat mengesan suspek untuk siasatan.
“Kita percaya, suspek tidak lari jauh dan masih berada di negeri ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!