Armada Terengganu tuding jari pada Syed Saddiq
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan faktor sebenar kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Terengganu, Syaiful Irfan Anang berkata, jentera parti terutama Pemuda PH yang diketuai Ketua Armada Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gagal dimanfaatkan sepenuhnya.
Syaiful berkata, pemuda PH yang terdiri daripada empat parti komponen itu sepatutnya perlu bermuafakat memainkan peranan yang besar pada PRK itu.
“Punca sebenar kekalahan PH di PRK Tanjung Piai bukan daripada Dr Mahathir seperti yang dikatakan oleh Saudara Syed Husin.
“Ketua Pemuda PH merangkap menteri belia dan sukan tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai ketua sayap kepada gabungan empat parti.
“Gerak kerja dan mobalisasi jentera Pemuda PH berada pada tahap yang sangat lemah. Walhal Pemuda PH seluruh Malaysia menunjukkan semangat yang tinggi untuk berbakti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Syaiful berkata, Syed Saddiq perlu ditegur kerana PH mengalami kekalahan yang sangat mendukacitakan dalam dua PRK.
Menurutnya, rakyat Johor memilih untuk tidak mengundi PH kerana pelbagai isu yang terpalit dengan Syed Saddiq apabila masih tidak dapat diselesaikan dengan baik terutama melibatkan Istana Johor.
“Kita harus berjiwa besar dan akur kepada kekalahan ini dan sebagai pemuda, saya ingin menyeru kepada Ketua Pemuda PH supaya bermuhasabah.
“Segera selesaikan pelbagai konflik dan perkasakan akar umbi serta barisan pemuda PH,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!