Cadang wujud laluan pejalan kaki bawah tanah
JOHOR BAHRU - Dewan Muda Johor mencadangkan kepada kerajaan untuk dibangunkan laluan pejalan kaki bawah tanah demi keselamatan rakyat Malaysia khususnya Bangsa Johor yang bekerja di Singapura.
Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Kesihatan, Prasarana dan Alam Sekitar, J S Pervinder Singh berkata, kerajaan perlu sedar semakin ramai rakyat di negara ini khususnya rakyat Johor bekerja di Singapura.
Menurutnya, terdapat 200,000 rakyat Malaysia berulang alik dari Malaysia ke Singapura seperti dinyatakan Bank Negara Malaysia selain pertambahan bilangan pelancong dari negara jiran ke Johor.
“Majoriti rakyat kita dan pelancong menggunakan pengangkutan awam, kenderaan sendiri, e-scooter dan juga yang berjalan kaki untuk memasuki ke negara jiran kita kerana faktor kesesakan lalu lintas yang melampau dan mereka mengejar masa untuk tidak terlewat bekerja,” katanya.
Pervinder Singh berkata, bagaimanapun bahu jalan menghala ke Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (KIK) tidak selamat untuk digunakan.
Katanya, ia kerana rakyat harus melintasi jalan besar laluan motosikal dan terus berjalan atau memandu e-scooter di bahu jalan besar yang mana ia adalah laluan kereta, van, bas, lori bagi memasuki ke pintu masuk CIQ.
“Ini berlainan dengan di Singapura di mana mereka mempunyai laluan pejalan kaki bawah tanah berdekatan dengan imigresen negara mereka.
“Dengan ini tiada siapa pun yang harus berjalan kaki mahupun memandu e-scooter di jalan besar laluan kenderaan di Singapura,” katanya.
Beliau berkata, Dewan Muda Johor juga mencadangkan kerjasama Malaysia-Singapura untuk menambah baik laluan pejalan kaki sepanjang jalan besar yang digunakan rakyat kedua-dua negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!