Setia hingga hujung nyawa

Jenazah si isteri dikebumikan di Kampung Seng Kee. - Foto Facebook Abam Botak
Jenazah si isteri dikebumikan di Kampung Seng Kee. - Foto Facebook Abam Botak
A
A
A

BATU SAPI - Kisah pasangan suami isteri hidup dalam serba kekurangan sehingga ke hujung nyawa meruntun jiwa netizen.

Perkongsian kisah itu didedahkan pemilik Facebook Abam Botak, apabila berkunjung ke rumah mereka di Kampung Seng Kee, Sabah.

Abam Botak yang terkenal dengan kerja amal memberitahu, kedatangannya ke rumah pasangan tersebut kerana si isteri sudah meninggal dunia, namun kelengkapan pengurusan jenazah tidak mencukupi.

Setibanya di rumah, si suami terus memeluk Abam Botak kerana terharu sudi membantunya menguruskan jenazah isterinya.

"Mereka berdua hidup menyewa di sebuah bilik kecil dengan kadar bayaran RM100 sebulan.

"Kalau seringgit saja yang mereka ada dalam tangan, maka seringgit sajalah kadar sewa yang akan dibayar kepada tuan rumah," tulisnya.

Si suami hiba si isteri meninggal dunia. - Foto Facebook Abam Botak
Si suami hiba si isteri meninggal dunia. - Foto Facebook Abam Botak

Si suami juga memberitahu tidak mampu membalas jasa Abam Botak kerana kehidupannya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Artikel Berkaitan:

"Mereka hanya membeli nasi putih berharga 50 sen dan jika ada duit lebih, barulah membeli lauk, makan bersama isteri.

"Pasangan ini tidak mempunyai anak, saudara mara dan harta untuk dibanggakan. Maknanya siapa yang meninggal awal, yang hiduplah akan uruskan jenazah yang pergi dulu dan begitulah sebaliknya," katanya.

Keadaan rumah sewa pasangan suami isteri. - Foto Facebook Abam Botak
Keadaan rumah sewa pasangan suami isteri. - Foto Facebook Abam Botak

Menurutnya, meskipun mereka hidup susah sebagai pasangan suami isteri, susah senang mereka tetap hidup bersama.

"Apa yang membanggakan saya dan menjadi pengajaran kepada saya. Mereka berdua tetap setia hingga ke hujung nyawa.

"Hari ini banyak kita dengar kes penceraian rumah tangga berlaku kerana masalah kewangan, namun dua insan ini mampu pertahankan cinta dan rumah tangga mereka sehingga akhir hayat," katanya.

Dalam pada itu, pendedahan kisah ini sedikit sebanyak memberi pengajaran buat pengguna alam maya agar sentiasa bersyukur atas kurniaan-Nya.

"Allahuakbar, sedih baca kisah pakcik ni. Salam takziah kepada pakcik, semoga terus tabah. Selalu ingatkan diri di sebalik kesusahan kita ada lagi yang lebih susah hidupnya, bersyukurlah selalu dengan apa yang ada," kata Imah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!