Tuah gambar tular Divya
NEW DELHI - Seorang kanak-kanak berusia lima tahun di bandar selatan Hyderabad di India menjadi terkenal secara tiba-tiba selepas fotonya tular di media sosial.
Divya dianggap sebagai 'selebriti' di kawasan setinggan tempat keluarganya tinggal.
Kanak-kanak pemalu itu mula mendapat perhatian ramai selepas gambarnya memegang sebuah mangkuk dan mengintai dari luar bilik darjah di sebuah sekolah kerajaan menerima pelbagai reaksi.
Imej menyayat hati itu diterbitkan menerusi akhbar Telugu pada 7 November lalu dengan kapsyen 'renungan lapar'.
Ia dengan cepat mencuri perhatian ramai malah aktivis hak asasi manusia turut berkongsi mengenainya di Facebook dan mendakwa Divya sebagai satu lagi contoh kanak-kanak yang dinafikan hak kepada makanan dan pendidikan.
Impak gambar itu sangat besar kerana keesokan harinya Divya diterima memasuki sekolah itu.
Bagaimanapun, bapanya, Lakshman berkata, gambar yang mencetuskan pelbagai kritikan itu didakwa 'tidak adil' kepada dia dan isterinya.
"Saya sangat sedih apabila melihat foto itu. Divya ada ibu bapa dan kami bekerja keras untuk memastikan dia mendapat masa depan yang baik.
"Gambar itu seolah-olah menunjukkan dia sebagai anak yatim yang kelaparan," katanya yang bekerja sebagai tukang sapu.
Menurutnya, dia menunggu anak perempuannya mencecah usia enam tahun sebelum mendaftarkannya ke hostel kerajaan dan dua anaknya yang lain turut dihantar belajar di situ.
Pasangan itu turut mempunyai anak lelaki yang sudah tamat bersekolah dan kini memohon kemasukan ke kolej.
Mahu makanan percuma
Divya dan keluarganya tinggal di pondok satu bilik di kawasan setinggan di bandar tengah-tengah Hyderabad kira-kira 100 meter dari sekolah kerajaan itu.
Lebih 300 keluarga yang tinggal di kawasan itu bekerja sebagai buruh harian manakala anak mereka belajar di sekolah berhampiran.
Lakshman berkata, dia dan isteri memperoleh pendapatan kira-kira 10,000 rupee (RM579) sebulan yang digunakan untuk membeli makanan dan pakaian, manakala pendidikan untuk anak-anaknya di sekolah kerajaan adalah percuma.
"Saya pernah merasai kesusahan hidup kerana membesar tanpa ibu bapa. Saya tidak mahu anak-anak saya menerima nasib sama dan mendapat hidup lebih baik.
"Jadi, Saya pastikan kesemua mereka pergi ke sekolah. Saya juga menjaga lima anak saudara selepas kematian ibu bapa mereka," katanya.
Ketika ditanya kenapa Divya ke sekolah itu sambil membawa mangkuk di tangan, Lakshman menjelaskan ramai kanak-kanak di kawasan setinggan itu ke sana kerana mahu mendapatkan makanan percuma di bawah program disediakan kerajaan.
"Dia tidak ke sana setiap hari dan kebetulan pada hari tersebut seseorang telah mengambil gambarnya," katanya.
Perkara itu turut disahkan guru di sekolah terbabit bahawa lebihan makanan di bawah program itu akan diberikan kepada budak lain.
"Mereka sering ke sini memandangkan kebanyakannya tidak ditempatkan di pusat jagaan," kata guru tersebut.
Lakhsman dan jirannya juga menyuarakan kekurangan 'anganwadi' atau pusat jagaan harian ditaja kerajaan di kawasan kejiranan itu telah menjadi masalah besar kepada mereka terutama apabila terpaksa meninggalkan anak masing-masing untuk keluar bekerja.
Teruja pergi sekolah
Sementara itu, pemeriksa sekolah tempatan, SU Shivram Prasad berharap perhatian yang diperoleh daripada gambar Divya itu akan mempercepatkan proses pembukaan pusat jagaan terbabit.
"Ia dapat membantu ibu bapa dan anak mereka untuk mendapatkan makanan bernutrisi," katanya.
Para guru juga mengharap 'tuah' daripada foto Divya untuk meningkatkan kemudahan di sekolah terbabit berikutan ia berdepan kekurangan staf dan peralatan mengajar.
ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak lapar 'intai' makanan di sekolah
Bagaimanapun, 'selebriti' kecil itu teruja untuk ke sekolah dan akan sentiasa membawa beg bersamanya ke mana sahaja.
Gambar Divya sememangnya membawa 'tuah' kepada rakan sebayanya.
"Kini, kanak-kanak lain yang seusia dengannya sudah mula memasuki sekolah. Melihat perkembangan itu sudah cukup buat saya gembira," menurut Lakshman sambil tersenyum. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!