Ajal dua sahabat dihempap treler
ALOR GAJAH - [DIKEMASKINI] Dua rakan karib penuntut sebuah kolej kejururawatan maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini malam tadi.
Dalam kejadian lebih kurang jam 7.57 malam terbabit, kedua-dua mangsa lelaki berusia 19 tahun dikenali sebagai Ridzuan Iskandar Rusdi beralamat di Kemaman, Terengganu dan Luqman Hakim Yazid beralamat di Pulai, Johor dipercayai dalam perjalanan dari Johor menghala ke Kuala Lumpur sebelum dirempuh sebuah treler dari arah bertentangan.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, treler yang membawa muatan bahan kimia itu dalam perjalanan menghala ke selatan dan setiba di tempat kejadian, kenderaan berat itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dan melanggar dua buah kenderaan jenis Perodua Myvi serta Toyota Wish sebelum melanggar sebuah lagi Perodua Myvi yang dinaiki kedua-dua mangsa.
"Kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dihempap treler yang membawa muatan serbuk kalsium karbonat.
"Selain mangsa yang meninggal dunia akibat kecederaan teruk, lima mangsa dari kenderaan lain termasuk tiga kanak-kanak turut cedera dan telah dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Pemandu treler hanya mengalami cedera ringan dan ujian saringan air kencing akan dilakukan ke atas pemandu treler tersebut," katanya
Sementara itu, Pegawai Pengurusan Operasi negeri, Penolong Penguasa Bomba Yazid Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan lebih kurang jam 7.57 malam sebelum operasi menyelamat berakhir tujuh jam kemudian.
Menurutnya, seramai 28 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah serta Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian selain terpaksa mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit dalam kereta itu yang telah remuk teruk.
"Kita juga terpaksa menggunakan bantuan kren untuk mengalihkan treler bagi mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di bawah treler sebelum operasi menyelamat ditamatkan," katanya.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Alor Gajah sebelum dituntut waris keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!