Tanjung Piai ubah landskap politik
KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang menyaksikan kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) bakal memberi impak terhadap ekosistem politik negara secara keseluruhannya.
Kegagalan tersebut dilihat sebagai pengajaran buat PH yang selama ini tidak berjaya menonjolkan konsep kebersamaan dalam gabungan apabila wujudnya konflik sehingga menjejaskan undi rakyat.
Situasi itu diakui oleh penganalisis politik yang turut menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bukan hanya diraikan oleh pemimpin dan penyokong parti itu tetapi turut ‘menggembirakan’ beberapa kelompok dalam PH sendiri.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, kekalahan itu tentunya memberi kesan terhadap politik negara ditambah wujudnya desakan penyerahan kuasa Perdana Menteri.
“Sekarang pun sudah ada kesan dan kalau kita lihat sudah ada suara-suara untuk mendesak Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) menyerahkan kuasa kepada pemimpin lain dalam PH. Mereka ingin menyegerakan proses peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Yang bergembira dengan kemenangan BN ini bukan sahaja pemimpin dan penyokong BN tetapi juga tokoh-tokoh politik dalam PH yang mahu melihat transisi kuasa itu dipercepatkan.
“Jadi ada beberapa kelompok yang akan bergembira hasil daripada keputusan PRK ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, pada ketika ini, kerajaan juga berhadapan dengan protes rakyat dan fenomena itu bukan hanya di Parlimen Tanjung Piai tetapi juga petanda perubahan pola undi masyarakat berbilang kaum.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, masih terlalu awal untuk meletakkan jangkaan BN menakluk semula majoriti kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Bukan saja orang Melayu yang menunjukkan tanda protes kepada kerajaan hari ini tetapi juga melibatkan masyarakat Cina, kerana di Tanjung Piai kira-kira 42 peratus adalah pengundi Cina. Jadi pola perubahan itu ke arah satu protes secara menyeluruh, sebab itu BN boleh menang,” katanya.
Justeru, Md Shukri berkata, dalam konteks berkenaan, PH perlu melaksanakan penyusunan semula parti-parti dalam kerajaan dan bermuhasabah dengan apa yang berlaku.
“Perlu ada keikhlasan. Dalam PH saya tidak melihat keikhlasan perjuangan kepada rakyat secara berterusan. Yang ada adalah untuk mendapatkan jawatan segera selepas kemenangan PRU yang lalu. Jadi keikhlasan itu telah semakin pudar dan tidak dilihat oleh rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, beliau tidak melihat unsur sabotaj pada PRK berlaku secara terus daripada Anwar mahupun kepimpinan tertinggi DAP.
“Ya berlaku satu gerakan untuk Dr Mahathir menyerahkan kuasa dalam kadar segera tetapi saya tidak fikir ini adalah perancangan Anwar dan kepimpinan tertinggi DAP, cuma orang sekitar mereka, orang sekeliling mereka. Itu ya saya setuju.
“Bagi saya orang di sekitar dan keliling Anwar dan kepimpinan tertinggi DAP itu sebenarnya sedang mencari-cari satu kaedah bagaimana untuk memberi tekanan kepada pimpinan Dr Mahathir supaya berundur dengan kadar segera,” katanya.
Beliau menambah, Bersatu dan Dr Mahathir telah dilihat sebagai satu liabiliti kepada PH kerana PKR dan DAP adalah parti dominan yang memperjuangkan kepelbagaian kaum agama dalam sebuah parti.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian juga tidak menolak PH wajar meneliti sekiranya wujud unsur sabotaj dalam gabungan itu yang menyebabkan mereka tewas teruk di Parlimen Tanjung Piai.
Katanya, kekalahan berlaku mungkin disebabkan koordinasi antara parti-parti gabungan PH yang tidak digunakan sepenuhnya.
“Bersatu banyak bergantung kepada jentera PKR dan DAP. Jadi adakah jentera itu telah memberikan sokongan sepenuhnya untuk membantu calon? Hampir 10,000 pengundi tidak keluar pengundi menampakkan jentera kurang mantap berbanding jentera pembangkang,” katanya.
Bagi penganalisis politik dari Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed, PH mempunyai masa yang cukup untuk membuat sebarang penambahbaikan dalam kerajaan memandangkan baru setahun setengah memerintah.
“Hari ini kerajaan sedang bergerak ke arah meningkatkan urus tadbir baik kepada kerajaan yang sebelum ini telah disalahgunakan secara bebas oleh pemerintah BN.
“Keputusan PRK ini adalah pengajaran untuk kerajaan dalam beberapa aspek melibatkan masyarakat Melayu luar bandar, serta kehilangan undi Cina. Kerajaan perlu perhalusi semula dasar-dasar yang dibuat,” katanya.
Seorang lagi penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat sukar untuk BN mendapat semula majoriti kerusi sekiranya tiada perubahan berlaku dalam kepimpinan dalaman UMNO.
“Ia bergantung kepada politik semasa. Sekarang ini masih terdapat persepsi pemimpin UMNO terlibat kes mahkamah tapi masih aktif berpolitik. Kalau perubahan dalaman UMNO berlaku, mungkin boleh (menang PRU),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!