SKMM rampas kelengkapan komunikasi tidak diperakui

No Image Caption
A
A
A

CYBERJAYA - Sebanyak 58 kelengkapan komunikasi tidak diperakui dirampas dalam serbuan dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di 12 lokasi berbeza di Kuala Lumpur, Kedah, Perak dan Pulau Pinang antara Julai hingga awal Oktober lalu.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, kesemua barang rampasan disita oleh PDRM sebelum diserahkan kepada SKMM untuk analisis bagi membantu siasatan.

"Antara yang dirampas adalah antena, signal booster dan repeater, sistem pemancar TV tanpa wayar dan penghantar AV, Kotak TV Android, walkie-talkie dan RF Repeater.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam (6) bulan atau kedua-duanya,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 19 kes membabitkan 66 pertuduhan telah dibawa ke muka pengadilan bagi tempoh Januari hingga September lalu melibatkan denda sebanyak RM432,000.

"Sepanjang tahun 2018 pula, sebanyak 10 kes membabitkan 15 pertuduhan dibawa ke mahkamah. Kesemua pertuduhan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda sebanyak RM55,500.

"Usaha untuk membanteras penggunaan atau penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui yang giat dijalankan ketika ini oleh MCMC akan diperhebatkan lagi. Ini bermakna, lebih ramai yang terbabit sama ada memiliki ataupun menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti-aktiviti sedemikian boleh membuat laporan atau aduan kepada MCMC bagi membolehkan siasatan dan tindakan susulan diambil.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga diingatkan supaya hanya membeli dan menggunakan kelengkapan komunikasi yang memaparkan label MCMC sahaja.

"Sekiranya tidak pasti, manfaatkan aplikasi mudah alih Check Your Label atau layari laman sesawang https://ecomm.sirim.my bagi memastikan kelengkapan komunikasi yang anda gunakan adalah sah dan diperakui,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!