Sudah terpadamkah ‘api kebencian’

A
A
A

API yang marak menjulang membakar kenderaan-kenderaan di pekarangan Kuil Sri Mahamariaman dalam rusuhan tempoh hari telahpun dipadamkan oleh Adib dan rakan-rakannya. Meski dengan harga yang amat mahal, Adib menjadi korban tergadai nyawanya demi memadamkan api kebencian itu. Pemergiannya ditangisi bukan sahaja oleh kaum keluarga tetapi seluruh rakyat Malaysia yang ingin dan cintakan kedamaian, perpaduan dan keharmonian.

Tanggal 22 Disember 2018 lalu, penulis menghadiri undangan walimatul urus di selatan tanah air. Hari tersebut merupakan tarikh yang sama sepatutnya Muhamad Adib melangsungkan perkahwinannya. Tidak terperi remuknya hati tunang Allahyarham apabila hari bahagia mereka bersama bertukar menjadi tragedi pedih bila Adib ‘dipanggil pulang’ oleh Penciptanya beberapa hari sebelum pernikahan mereka berlangsung. Mahligai impian mereka musnah dan Adib telah pergi buat selama-lamanya. Pertama kali dalam sejarah penulis begitu sebak tatkala menghadiri suatu majlis perkahwinan bagaikan menghadiri suatu upacara kematian pula.

Apa yang berlaku tetap telah berlaku. Masa tidak dapat diundurkan lagi. Namun pengajaran daripada insiden tersebut itulah yang tersangat penting dan wajar diberikan perhatian dan tindakan. Perpaduan, permuafakatan dan persahabatan rakyat berbilang kaum di negara ini mesti diperkukuhkan demi kelangsungan kekuatan Malaysia. Kesepakatan untuk bersama-sama memupuk kasih sayang kepada negara. Kestabilan, keamanan yang dikecapi selama ini mesti sedaya upaya dikekalkan.

Hentikanlah mesej-mesej bersifat jahat dan cuba menyemai kebencian dalam kalangan kita. Lihatlah kepada kekuatan struktur sesebuah bangunan atau jambatan. Kita jangan nampak batu, pasir, simen atau besi konkrit sahaja. Jika kita kaji, yang menjadikan bangunan atau jambatan itu utuh dan tersergam ialah wujudnya ‘unsur yang lembut’ iaitu air. Begitu juga dengan kekuatan perpaduan, unsur yang lembut untuk mengukuhkan perpaduan adalah ‘hati yang lembut’ sesama kita.

Pihak media massa ( cetak dan elektronik) merupakan pemangkin dan mampu membentuk kesepakatan dan perpaduan dalam kalangan kita. Termasuk jugalah pengguna media sosial. Elakkanlah dan hentikanlah provokasi yang boleh mencetuskan ketidakharmonian kaum. Biarlah pihak berkuasa mengambil tindakan dan menjalankan siasatan terperinci dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan tanpa prejudis.

Pihak tertentu yang terus memberikan sokongan kepada keluarga Muhammad Adib amatlah dialu-alukan dan dihargai usaha mereka. Banyak pihak telah tampil seperti melancarkan tabung khas untuk disalurkan kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda solidariti dan penghargaan juga bagi meringankan kedukaan keluarga.

Berita mengatakan bahawa tunangan beliau Nurul Najihah kini semakin pulih daripada kemurungan juga adalah sesuatu yang positif dan disambut baik oleh setiap mereka yang amat bersimpati. Semoga beliau terus diberikan kekuatan dan kembali stabil emosinya. Kepada ibu dan ayah serta ahli keluarga Allahyarham, percayalah bahawa Nabi SAW pernah bersabda bahawa seseorang yang bersabar dan kemudiannya reda dengan musibah yang menimpa akan mendapat ganjaran sepertimana seseorang itu baru dilahirkan daripada perut ibunya. Bertabahlah.

Muhammad Adib anda adalah insan terpilih. Semoga roh anda di tempatkan dalam kalangan insan-insan yang dikasihi ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Al Fatihah.

* Penulis memiliki pengalaman dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia.

Kini Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care Sdn Bhd

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!