Kekalahan PH bukti kemarahan rakyat

Ciapan Twitter Annuar.
Ciapan Twitter Annuar.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kekalahan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, disebabkan kemarahan rakyat pada PH.

Beliau turut menyifatkan percubaan pihak tertentu meletakkan kesalahan kepada Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kekalahan calon mereka sebagai tanggapan yang silap, kononnya kekalahan PH tidak akan berlaku jika peralihan Perdana Menteri disegerakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Itu diagnosis dan preskripsi yang salah. Kekalahan PH disebabkan kebencian rakyat kerana kegagalan, kezaliman, kesombongan, kerakusan, pembohongan PH dan cauvinisme DAP,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Karmaine yang mendapat 10,380 undi, tewas dengan majoriti besar iaitu 15,086 undi kepada Jeck Seng yang mendapat 25,466 undi pada PRK Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Pengasas bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali sebelum ini mengeluarkan kenyataan mendakwa kekalahan itu merupakan satu referendum terhadap PH pimpinan Dr Mahathir, beberapa jam selepas keputusan diumumkan.

Sementara itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut mempelawa Dr Mahathir dan semua pemimpin Bersatu menyertai Muafakat Nasional untuk bersama dengan BN dan Gagasan Sejahtera (GS) melakarkan agenda baharu membela maruah rakyat dan menyelesaikan masalah negara.

“BN dan Muafakat Nasional akan berusaha untuk mengambil semula semua 12 lagi kerusi Parlimen yang dimenangi Bersatu pada PRU14 yang lalu.

“Insya-ALLAH, kita boleh melakukannya dan kita akan usahakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!