Wujudkan gred jawatan dalam kerajaan untuk graduan TVET

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad.
A
A
A

ARAU - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disaran mewujudkan gred jawatan khusus kerajaan untuk graduan kemahiran Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai penanda aras tangga gaji mereka.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, ia selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan bidang tersebut menjadi tarikan pelajar sekali gus mengatasi masalah gaji pekerja TVET di sektor swasta.

“Diharap kerajaan dapat membantu graduan bidang TVET ini dengan menyediakan gred gaji yang setaraf sama seperti graduan kejuruteraan yang diberikan gred J.

“Pengiktirafan ini perlu supaya graduan TVET tidak dianggap sebagai kelas kedua dan pada masa sama tidak timbul lagi isu penawaran gaji yang rendah oleh sektor swasta dan industri," katanya.

Dr R Badlishah berkata, graduan TVET juga tidak lagi perlu bekerja pada gred jawatan lainnya seperti N yang dikhususkan untuk kerja pentadbiran sedangkan mereka ini graduan teknikal dan kemahiran.

"Selain aspek gaji, sektor industri dan majikan juga perlu mengiktiraf graduan TVET dengan memberikan mereka tugas-tugas yang lebih mencabar dan bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki," katanya.

beliau berkata, ini termasuklah memberi kepercayaan dalam melaksanakan reka bentuk kejuruteraan dan pembangunan teknologi sebagaimana yang dilaksanakan oleh negara-negara luar seperti Jerman yang sebahagian besar kerja dilaksanakan oleh pekerja TVET.

“Di Jerman juga, industri dan institusi akademik sering menjalinkan kerjasama erat dalam memastikan kurikulum pengajian sentiasa selari dengan keperluan industri dan ini memastikan graduan yang dilahirkan kekal relevan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, katanya, sebagai sebuah universiti yang berteraskan kejuruteraan, UniMAP telah mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan hubungan dengan industri terutama dari aspek kurikulum pengajian yang sememangnya digubal setelah mengambil pandangan pemain industri.

“Apa yang penting kini ialah memastikan semua graduan TVET yang dilahirkan oleh UniMAP dapat menyumbang kepada industri dalam skala yang lebih besar.

“Pada masa sama kita juga akan mengoptimumkan ilmu yang dimiliki oleh profesor dan pensyarah UniMAP serta dana dan kemudahan yang dimiliki oleh industri agar dapat menyumbang kepada peningkatan kredibiliti UniMAP di persada dunia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!