APMM rampas 18 bubu naga
BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Batu Pahat merampas 18 bubu naga selepas menahan sebuah bot gentian kaca tidak mempunyai nombor pendaftaran di perairan Sungai Tongkang di sini semalam.
Pengarah APMM Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, bot itu ditahan kira-kira jam 6 petang ketika anggota melakukan rondaan.
Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa pengendali bot terbabit terus melarikan diri ke kawasan perairan cetek dengan meninggalkan bubu naga.
"Kesemua bubu naga itu dirampas kerana penggunaannya menyalahi peraturan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohammad berkata, penggunaan bubu naga secara haram boleh menjejaskan sumber perikanan kerana sifatnya yang tidak selektif selain turut memerangkap anak-anak ikan komersial.
“Nelayan diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.
Katanya, setakat bulan ini sahaja, APMM Zon Batu Pahat telah berjaya merampas 64 unit bubu naga yang dipasang secara haram di sekitar perairan daerah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!