Kurangkan jurang ekonomi antara kaum
TASEK GELUGOR - Kerajaan Persekutuan diminta dapat menyediakan pelbagai mekanisme dalam membantu Bumiputera meningkatkan hasil ekonomi termasuk bantuan memajukan perniagaan diusahakan.
Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Muhammad Yusuff Mohd Noor berkata, penguasaan ekonomi Bumiputera sememangnya berada pada tahap perlu diberikan perhatian dan dibantu.
“Kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap penyertaan orang Melayu dalam sektor ekonomi yang dilihat agak jauh ketinggalan berbanding bangsa lain di negara ini.
“Penambahan bilangan usahawan Melayu dalam pelbagai bidang perlu dipertingkatkan dan pelbagai usaha perlu diaktifkan supaya jurang ekonomi antara kaum di negara ini tidak terlalu renggang,” katanya selepas merasmikan pertandingan sepak takraw anjuran Pemuda Umno Kampung Aman di sini semalam.
Menurutnya, dalam masa sama pelbagai mekanisme perlu ditambah baik dalam memastikan ekonomi orang Melayu sentiasa terjamin.
“Kalau kita lihat di negara ini, kaum Bumiputera memonopoli sebagai pengguna yang paling tinggi berbeza dengan bilangan usahawan Bumiputera yang disifatkan masih kurang.
“Ini amat penting sekali, dalam agenda menambahkan penyertaan usahawan Bumiputera, pelbagai mekanisme perlu diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.
Muhammad Yusuff berkata, antara mekanisme termasuklah pinjaman daripada segi modal dan peralatan perlu diperluaskan.
“Kita sememangnya sudah mempunyai pelbagai agensi yang bertanggungjawab dalam memberi kemudahan kepada usahawan, namun ia perlu diperluaskan lagi.
“Bukannya kita mengharapkan secara percuma semata-mata, namun pinjaman kepada usahawan perlu dipermudahkan, sekali gus dengan penyertaan lebih ramai usahawan Melayu, sektor ekonomi Bumiputera khususnya Melayu akan dapat dinaikkan,” katanya.
Menurutnya, peredaran masa sejak dahulu memperlihatkan kerajaan sebelum ini sejak merdeka mengadakan pelbagai usaha untuk menaikkan sektor ekonomi Bumiputera.
“Sejak daripada zaman merdeka sehinggalah sekitar tahun 70-an, pelbagai usaha diperkenalkan termasuklah Dasar Ekonomi Baru yang diwujudkan untuk memastikan jurang ekonomi sentiasa terjaga.Inisiatif ini perlu digembleng lagi, perlu ditambah baik seperti yang diusahakan kerajaan terdahulu,” katanya.
Dalam masa sama, mengulas mengenai perkembangan Umno Tasek Gelugor katanya, Umno Tasek Gelugor kini dalam usaha mempergiatkan pelbagai aktiviti di peringkat kawasan.
“Gerak kerja dan usaha dalam membantu rakyat kita laksanakan setiap masa dan ini yang kita jalankan dalam melaksanakan agenda membantu masyarakat.
“Alhamdulillah, penerimaan masyarakat terhadap Umno tetap utuh dan kita mempunyai akar umbi kuat yang sentiasa menyokong dan bersama dengan Umno,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!