Tujuh lembu mati dilanggar lori, kereta
KAMPAR - Tujuh ekor lembu yang dibiarkan berkeliaran, mati selepas dilanggar dua kenderaan di Kilometer 31 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Batu Karang di sini awal pagi tadi.
Kejadian sekitar jam 4 pagi itu berlaku membabitkan sebuah lori jenis Hino dan kereta yang belum dapat dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, berdasarkan laporan dibuat pemandu lori terlibat, kemalangan itu berlaku apabila secara tiba-tiba sekumpulan lembu melintas dari tepi jalan sebelah kiri.
Menurutnya, disebabkan jarak yang terlalu dekat, lori terbabit tidak sempat mengelak lalu merempuh lima ekor lembu.
"Selepas itu, datang sebuah kereta dari arah bertentangan iaitu dari Kampar menghala ke arah Ipoh juga tidak sempat mengelak lalu terlanggar dua ekor lembu di laluannya.
"Perlanggaran telah menyebabkan tujuh ekor lembu tersebut mati di tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata, pemandu lori berusia 55 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan sementara pemandu kereta masih belum melaporkan kemalangan.
Katanya, akibat kejadian itu, lori berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, lampu pecah dan cermin hadapan retak.
"Siasatan lanjut kini sedang dijalankan," katanya.
Dalam pada itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu Karang, Ahmad Shaarani Abdul Khalid berkata, banyak aduan telah dibuat penduduk kampung kepada pihak berkuasa mengenai haiwan ternakan terutama lembu dan kerbau yang dibiarkan berkeliaran.
"Ini bukanlah kejadian pertama, banyak dah kes kemalangan berlaku di kawasan ini disebabkan haiwan ternakan berkeliaran, ada yang sampai cedera parah.
"Cuma kali ini mujur hanya melibatkan korban binatang ternakan, harap perkara ini dapat perhatian pihak berkuasa," katanya.
Difahamkan kesemua bangkai haiwan itu sudah dialihkan oleh pekerja konsesi Jabatan Kerja Raya (JKR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!