Pembangkang kesal Speaker DUN 'u-turn'
IPOH - Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menarik semula keputusan sebelum ini yang memberi masa sejam kepada ketua pembangkang pada sesi penggulungan Sidang DUN kali ini amat dikesali.
Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, arahan yang dikeluarkan pada permulaan Sidang DUN hari ini disifatkan pelik kerana peraturan itu diperkenalkan Koo Ham dalam usaha menambahbaik institusi DUN Perak.
Menurutnya, sebelum ini diputuskan bahawa ketua pembangkang diberikan dua sesi untuk berucap iaitu ketika perbahasan dan sesi penggulungan namun kali ini hanya dibenar untuk membuat ucapan perbahasan.
"Kita menzahirkan rasa dukacita dengan keputusan itu apabila hak ketua pembangkang yang diberikan sebelum ini dinafikan oleh Speaker.
"Kenapa tiba-tiba sahaja hari ini tak benarkan. Takkan sebab sedih kekalahan (Pakatan Harapan) di Tanjung Piai? katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak hari ini.
Sementara itu, Koo Ham dalam sidang media berasingan menjelaskan keputusan tersebut dibuat kerana mendakwa Saarani gagal memanfaatkan masa ketika penggulungan sebelum ini untuk membangkitkan perkara-perkara yang tidak disentuh oleh ADUN-ADUN ketika sesi perbahasan.
Menurutnya, peluang yang diberikan itu digunakan oleh ketua pembangkang untuk membuat tuduhan melulu dan mengancam pihak kerajaan, bukan berbahas.
Beliau berkata, berdasarkan keadaan itu, pihaknya membuat kesimpulan bahawa hanya satu jam mencukupi ketika sesi perbahasan untuk ketua pembangkang mengemukakan sebarang pandangan dan kritikan.
Bagaimanapun Koo Ham berkata, sekiranya tempoh masa berbahas itu tidak mencukupi, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk menambah masa berbahas bagi ketua pembangkang sebanyak 30 minit hingga satu jam lagi.
Koo Ham pada November tahun lalu mengumumkan bahawa ketua pembangkang diberikan tambahan masa untuk berbahas daripada 40 minit kepada sejam malah diberikan tambahan sejam lagi ketika sesi penggulungan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!