'Program di sekolah patut undang wakil rakyat kerajaan'
KUALA LUMPUR - Projek pembangunan atau program di sekolah yang diterima daripada Persekutuan seharusnya mengundang wakil rakyat atau ahli politik kerajaan dan bukannya pembangkang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berpandangan bahawa perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi satu masalah.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan tidak pernah menghalang wakil rakyat menghadiri program-program di sekolah.
"Jika projek pembangunan atau program tersebut daripada kerajaan Persekutuan tetapi ajak pembangkang, saya rasa itu tidak betul sikitlah," katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung kelulusan kebenaran untuk ahli politik pembangkang dan kerajaan menghadiri program di sekolah.
Jawapan Nie Ching mendapat celahan Awang Hashim (Pas-Pendang) yang tidak berpuas hati dengan mengatakan 'semua guna duit negara, bayar cukai'.
"Memang guna duit negara, jadi apa masalah untuk mengundang ahli politik kerajaan?
"Saya nak tanya semasa BN (Barisan Nasional) menjadi kerajaan, pernah tak undang ahli Parlimen Kulai (beliau)?," balas Nie Ching.
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) kemudiannya mencelah dan menuduh soalan Timbalan Menteri itu sebagai provokasi.
Dewan Rakyat tegang seketika apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang bangun mencelah sebelum ditegur Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
"Ini sesi soal jawab ya, bukan sesi debat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!