Lelaki pandu kereta curi ditahan
KEMAMAN - Polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kerana memandu kereta curi Honda City di kawasan sebuah kedai makan di Kampung Geliga, Kuala Kemaman di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berasal dari Kuala Terengganu itu ditahan jam 1 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman serta dibantu anggota dari IPD Kuantan.
Katanya, anggota polis mendapati kereta jenis Honda City berwarna putih dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Suspek terus dihampiri sejurus memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah kedai makan sebelum berlaku pergelutan kerana cuba melarikan diri.
"Namun akhirnya dia berjaya ditangkap sebelum pemeriksaan menjumpai kunci kereta lambang H.
"Pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran dan nombor casis kenderaan dilaporkan hilang yang dilapor di Balai Polis Cherating, Kuantan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!