Edar dadah dalam hotel bajet

Adzli (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas ketika serbuan dilakukan di Gurun pagi kelmarin.
Adzli (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas ketika serbuan dilakukan di Gurun pagi kelmarin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Hotel bajet menjadi lokasi pengedaran dadah terbaharu apabila kegiatan itu berjaya ditumpaskan dan seorang lelaki ditahan dengan nilai rampasan mencecah RM20,000.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pembantu pasar malam berusia 30 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Gurun 3.30 pagi kelmarin.

Menurutnya, lelaki terbabit dikesan menggunakan bilik hotel itu iaitu 6km dari rumahnya yang ditempah secara harian bagi menjalankan urusniaga.

"Hasil serbuan menemui sejumlah dadah sehingga membawa kepada penemuan dadah lain yang disimpan dekat rumah suspek yang keseluruhan membabitkan rampasan syabu, heroin dan wang tunai berjumlah antara RM18,000 hingga RM20,000," katanya.

Ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau antaranya tiga kesalahan bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dua kesalahan bawah Seksyen 12(2)ADB dan dua kesalahan bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Suspek direman tujuh hari mulai 16 hingga 22 November ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu susulan pendakwaan dilakukan terhadap tiga suspek bakar kilang kitar semula plastik di Mahkamah Sungai Petani semalam, 10 lagi individu dikesan terlibat dalam kes berkaitan.

Menurut Adzli, pihaknya percaya masih terdapat beberapa individu lagi akan didakwa dalam masa terdekat bagaimanapun, beliau mengakui, siasatan berhubung kes terbabit akan terus berjalan.

Dalam kejadian April lalu, tiga kebakaran dikesan berlaku di premis kilang kitar semula plastik membabitkan kerugian lebih RM11 juta, disyaki akibat perbuatan khianat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!