Hong Kong semakin tegang
HONG KONG - Protes ganas di Hong Kong semakin tidak terkawal selepas penunjuk perasaan bertindak membakar pintu masuk universiti di bandar raya terbabit awal pagi tadi yang kini mula mencetuskan kebimbangan banyak pihak tentang bila keganasan selama hampir enam bulan di hab kewangan Asia itu akan berakhir.
Mereka nekad melakukan tindakan itu selepas polis mengepung kampus terbabit dan memberi amaran mungkin akan menggunakan peluru hidup ke atas kumpulan protes terbabit jika ia terus menggunakan senjata berbahaya menyasarkan pasukan keselamatan.
Beberapa letupan kuat kedengaran sekitar waktu subuh sebelum api marak memusnahkan pintu masuk Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) tersebut hingga memaksa polis melepaskan tiga tembakan peluru hidup, namun tidak mencederakan mana-mana individu.
Keadaan semakin tegang apabila polis turut melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap ratusan peserta protes yang bersenjatakan bom petrol dan senjata lain di dalam kampus tersebut.
Pertempuran ganas antara pasukan keselamatan dan kumpulan demonstrasi di PolyU itu telah memasuki hari kedua selepas insiden huru-hara yang menyaksikan kenderaan milik polis dibakar dan seorang anggota tertusuk anak panah yang dilancarkan peserta protes.
Kira-kira 38 individu dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut dan sebahagian penunjuk perasaan turut mengalami kesan melecur kesan daripada bahan kimia yang dilepaskan dari meriam air polis.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Tinggi memutuskan larangan pemakaian topeng yang diperkenalkan kerajaan di bawah perintah darurat yang dikuatkuasakan pada bulan lalu sebagai tidak berperlembagaan.
Stesen penyiar RTHK melaporkan peraturan itu tidak bersesuaian dengan Undang-undang Asas selepas semakan dilakukan ke atas langkah kontroversi itu oleh 24 penggubal undang-undang prodemokrasi.
Di bawah undang-undang baharu, pemakaian topeng di sebarang bentuk perhimpunan dianggap melanggar undang-undang malah polis turut diberi kuasa untuk mengarahkan orang ramai membuka topeng pada bila-bila masa dan di sebarang lokasi. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!